KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kononnya kerajaan membuat kenyataan flip flop mengenai tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dijawab Perdana Menteri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, segala keputusan untuk membubarkan Parlimen adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jelasnya, selaku Perdana Menteri, beliau hanya boleh menasihati Agong mengenai pembubaran Parlimen.
“Saya tidak boleh katakan tarikh yang tepat kerana itu kerana saya akan ambil alih tugas YDPA.
“Itu salah dari segi Perlembagaan kalau saya tetapkan tarikh kerana kuasa penentu adalah daripada YDPA.
“DAP punya perangai mungkin dia tidak hormat YDPA tapi saya hormati YDPA,” katanya katanya ketika menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, hari ini.
Hadir sama antaranya Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Loke bahawa kenyataan perdana menteri bersifat ‘flip flop’.
Loke juga berkata kenyataan itu hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata jika beliau mengumumkan tarikh PRU15 dalam masa terdekat, yang akan bersorak adalah DAP.
“Eloklah kalau (kenyataan saya) flip flop supaya mereka tidak tahu bila saya nak adakan PRU15.
“Cuba kamu semak dari kenyataan PM dahulu, ada tidak PM dahulu menetapkan tarikh PRU. Kalau tanya Dr Mahathir waktu itu dia akan kata saya belum dapat ilham.
“Mereka (DAP) boleh siap sedia awal (ketawa). Jadi kita tidak tahu bila,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ismail turut mengulangi sebarang keputusan mengenai cadangan tarikh PRU15 hanya akan diputuskan oleh lima pimpinan tertinggi UMNO.
“Apa pun PRU akan dibincangkan oleh bersama Top 5 UMNO, ada biro politik, MT UMNO, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN kemudian saya juga akan bincang dalam Kabinet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette