JASIN – “Mula-mula saya tak percaya bila ada orang gunakan telefon ibu beritahu pemilik telefon terlibat kemalangan dan meninggal dunia.
“Saya harapkan orang itu tersalah, tapi terpaksa reda dengan ketentuan Allah kehilangan ibu dan ayah serentak akibat dilanggar pemandu mabuk,” kata Munirah Ezuddin, 21.
Wanita itu adalah anak kedua kepada pasangan orang kurang upaya (OKU), Ezuddin Mohammad, 50 dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam nahas jam 7.45 pagi tadi.
Menurut Munirah ketika kejadian, dia bersama empat lagi adiknya sedang tidur di rumah pusaka nenek mereka di Tambak Bugis sebelum menerima kiriman Whatsapp sekitar jam 8 pagi tadi memaklumkan kejadian.
“Sebaik tiba ditempat kejadian, saya tergamam apabila melihat dua-dua jenazah ayah dan ibu yang OKU bisu sudah terbujur kaku dan hanya mampu reda dengan ketentuan Allah ini.
“Lebih sedih, apabila mengenangkan arwah ayah tidak sempat tinggal di rumah baharu di Sebatu, Sungai Rambai yang sudah 90 peratus siap dan menjadi impiannya tinggal bersama ibu sehingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin di sini hari ini.
Dalam kejadian pagi tadi, pasangan OKU terbabit maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, nahas turut melibatkan seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan cedera di bahagian badan.
Siasatan awal mendapati, operator kilang berusia 24 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Bercerita lanjut Munirah berkata, biarpun reda dengan kejadian itu, dia sekeluarga akan memastikan pemandu kereta terbabit dihadapkan ke muka pengadilan kerana telah mengakibatkan mereka enam beradik menjadi yatim piatu sekelip mata.
“Ini bukan kes kecil kerana pemandu itu telah meragut nyawa kedua-dua ibu bapa saya dan saya akan tuntut keadilan apatah lagi ada adik-adik yang masih kecil dan bersekolah berusia antara 22 hingga 10 tahun,” katanya.
Tambahnya, proses bedah siasat dijangka selesai malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Balik Bukit, Bukit Lintang. – MalaysiaGazette