Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Boustead Plantations Bhd (BPB) telah memeterai perjanjian pembiayaan hijau bernilai RM45 juta dengan China Construction Bank (M) Bhd (CCBM) untuk memudahkan pelaksanaan penanaman semula mampan sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

BPB, salah satu syarikat minyak sawit utama Malaysia, berusaha memanfaatkan pembiayaan untuk memaksimumkan program penanaman semula lestari khususnya untuk aset perladangannya di Sabah, mulai tahun ini hingga 2024.

“Perjanjian pembiayaan hijau ini akan membolehkan BPB melengkapkan program peningkatan prestasi perladangannya yang sedang berjalan sekarang dengan mengoptimumkan potensi aset perladangannya di Sabah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Zainal Abidin Shariff dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian pembiayaan itu ditandatangani oleh pengarah BPB Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff dan setiausaha syarikatnya Affendi Mohd Yob manakala CCBM diwakili oleh Naib Presiden Eksekutifnya Wang Shaoqiang.

Zainal Abidin dan Ketua pegawai Eksekutif CCBM Wang QiJie menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian tersebut.

Menurut kenyataan itu, nisbah hutang kepada ekuiti BPB telah bertambah baik dalam beberapa tahun lepas berikutan prestasi kewangannya yang kukuh dengan tahap kadar hutang pada 0.28 kali pada 31 Mac, 2022 daripada 0.37 kali pada 31 Disember, 2021.

BPB berkata semua kawasan tanahnya berada di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia, manakala enam kilang sawitnya yang diperakui di bawah pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari telah ditauliahkan dengan Sistem Pensijilan Rantaian Bekalan.

Tiada aktiviti pembakaran dilakukan dan biojisim sawit BPB dikitar semula.

CCBM ialah anak syarikat China Construction Bank Corporation, sebuah bank komersial yang beribu pejabat di Beijing, ia beroperasi di 31 negara.

— BERNAMA