Sebahagian orang asli dari suku kaum Temiar memegang poster bantahan pembinaan empangan hidroelektrik di Sungai Nenggiri, Gua Musang, Kelantan yang mewakili suara lebih 3 ribu orang asli daripada 17 wilayah semasa hadir untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan TNB ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengendahkan kebimbangan yang diutarakan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) melalui memorandum yang diterima mengenai projek Pembangunan Loji Tenaga Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

Menurut kenyataan syarikat utiliti negara itu, ia akan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi menangani dan mengurangkan masalah yang telah disuarakan penduduk setempat itu.

Jelas TNB, sejak 2015 pihaknya telah berganding bahu dengan kerajaan dan pihak pemegang taruh yang terbabit dalam menjayakan projek berkenaan, termasuk kaum Orang Asli serta komuniti lain yang terlibat secara langsung atau tidak dalam projek itu.

Projek-projek yang dibuat dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya keperluan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.

Menurut TNB lagi, Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri itu adalah bahagian penting dalam strategi kerajaan untuk meningkatkan kuasa penjanaan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

Projek itu, katanya, adalah sebagai sokongan tambahan buat Negeri Kelantan bagi tujuan tebatan banjir.

Meskipun seperti yang didakwa oleh penduduk setempat yang mengatakan projek itu berpotensi menghilangkan sejarah adat dan budaya mereka, ia memberi impak sosio-ekonomi yang positif kepada negara dan Kelantan.

Jelas kenyataan itu, projek berkenaan mampu membawa faedah lain kepada masyarakat setempat di sekitar projek termasuk akses yang lebih baik kepada kemudahan, pekerjaan dan peluang keusahawanan, di samping menambah baik sumber pengairan kepada aktiviti pertanian.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Orang Asli Kelantan membantah pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang mana majlis pecah tanah dijadual diadakan pada pertengahan Jun ini.

Rata-rata mereka yang ditemui sewaktu menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap projek yang pernah dibantah sebelum ini. -MalaysiaGazette