Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan pembelaan kes SRC International Sdn Bhd (SRC), Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah diberikan pengadilan yang sewajarnya sejak awal perbicaraan sehinggalah jatuh hukum sabitan kes tersebut.

Malah apa yang lebih mengecewakan Shafee ialah apabila hakim membuat keputusan sabitan penyewelengan dana SRC bernilai RM42 juta, Datuk Mohd Nazlan Ghazali tidak pernah mendedahkan peranan beliau dalam Maybank Investment Bank Bhd.

Untuk makluman, Maybank ialah badan yang bertanggungjawab mencadangkan penubuhan SRC International melalui bahagian penasihat strategik milik penuhnya, Bina Fikir Sdn Bhd dan Mohd Nazlan menjadi setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang Kumpulan Maybank sekitar tahun 2006.

“Terlalu banyak aspek konflik kepentingan dalam kes ini tetapi Mohd Nazlan tetap menjadi hakim mendengar kes ini selain menjatuhkan hukum terhadap anak guam saya. Hakim ini mendapati anak guam saya bersalah atas tujuh pertuduhan namun dengan sengaja tidak mendedahkan peranan beliau melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.

“Malah pendakwaan juga tahu namun mereka juga bertindak menyembunyikan perkara tersebut. Mohd Nazlan juga ketika membuat keputusan sabitan salah membuat dapatan dalam penghakimannya bahawa anak guam kami mempunyai kawalan menyeluruh ke atas SRC.

“Sebenarnya Maybank Investment juga pemilik penuh Bina Fikir yang dipertanggungjawab dalam soal penyelidikan dan nasihat berkaitan penubuhan SRC International.

“Tetapi penglibatan Maybank melalui Maybank Investment dan Bina Fikir dalam menubuhkan SRC tidak pernah dibangkitkan pihak pendakwaan ketika perbicaraan SRC dan tiada saksi dari Maybank, langsung tidak ada Maybank Investment dan Bina Fikir dipanggil atau ditawarkan oleh pendakwaan.

“Mohd Nazlan pula terlibat secara menyeluruh pengendalian soal perundangan dalam kumpulan syarikat itu, yang turut merangkumi Maybank Investment dan Bina Fikir tetapi menuduh anak guam yang terlibat dengan struktur penubuhan SRC.

“Kerana itu juga memfailkan permohonan notis usul di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi memasukkan keterangan baharu berhubung peranan Mohd Nazlan bagi membatalkan perbicaraan SRC,” katanya kepada pemberita ditemani Najib sejurus selepas prosiding 1MDB yang ditangguhkan sehingga esok.

Judge Mohd Nazlan Mohd Ghazali 1MDB SRC International conflict of interest Najib Razak
Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Jelas Shafee lagi, keterangan baharu yang ingin dikemukakan jika diambil secara kumulatif mengesahkan Mohd Nazlan selaku peguam dan setiausaha syarikat Maybank ketika itu mempunyai pengetahuan mengenai peranan Maybank Investment dalam menasihati berhubung penubuhan SRC.

Najib turut memohon perintah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dalam notis usul itu.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Najib dengan menetapkan prosiding rayuan akhir itu selama 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini.

Sebelum ini Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kedudukan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan. – MalaysiaGazette