Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran

KUALA LUMPUR – “Pelik sekali apabila parti-parti pembangkang boleh anjur pelbagai majlis amal termasuklah kutip derma setiap kali pemimpinnya disaman, rakyat jadi mangsa terpaksa bayar duit jamin atau saman fitnah tetapi jika mana-mana parti Barisan Nasional (BN) buat, ada sahaja bunyinya.”

Itu luahan tidak puas hati Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berhubung beberapa video TikTok penyokong pembangkang yang menyebarkan rasa benci dalam kalangan masyarakat India untuk tidak mengundi MIC pada pilihan raya akan datang.

Rajasekaran yang juga seorang pengamal undang-undang itu tidak menyangka dengan anjuran malam gala dengan tujuan mengutip derma daripada pemimpin MIC sendiri, ada pihak ‘sebelah sana’ tidak berpuas hati.

“Saya sendiri tidak faham apa pula isunya untuk kami dalam kalangan MIC anjur Gala Night, kita minta ahli kita beli meja makan malam sambil menderma, duit itu akan kami gunakan untuk pelbagai program untuk rakyat juga. Jadi apa masalahnya? Kenapa perlu label kami segala macam?

“Pada akhir video, minta pula jangan undi MIC. Nampak tidak agenda tersembunyi kumpulan ini? Bukankah dalam kalangan pembangkang dan Pakatan Harapan ini, hari-hari ada sahaja majlis amal kononnya hendak selamatkan Malaysia dan minta penyokong bersimpati serta menderma? Semua orang tahu sehingga lepas menang jadi kerajaan pun minta derma lagi.

“Bila kena saman kerana asyik sebar fitnah sana sini, itu pun kamu minta derma kononnya semua itu dilakukan demi rakyat. Tetapi pada masa sama, pemimpin-pemimpin ini masih hidup bermewah. Sehingga hari ini, mana perginya duit-duit itu? Mengapa tidak ada TikTok untuk semua ini?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Rajasekaran, rakyat juga kini ada akses dengan media sosial dan mereka juga tahu baik dan buruknya.

Apabila bertukar kerajaan, mereka nampak bagaimana manifesto indah khabar dari rupa itu akhirnya hanya sekadar untuk dapatkan undi dan hakikatnya satu apa pun tidak boleh diguna pakai, katanya.

Kerana itu juga, menurutnya, semua pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil, BN kembali memegang tampuk kuasa.

“Apakah kamu semua tidak langsung belajar dari ini? Masih mahu teruskan kerja-kerja sia-sia ini? Sudah-sudahlah,” katanya.

Kata Rajasekaran lagi, adalah satu perkara biasa apabila malam gala seperti itu yang rata-ratanya telah dihadiri oleh ahli MIC serta keluarga mereka turut diselangi dengan acara muzik, makan malam dan berlangsung dalam keadaan ceria dan berwarna warni.

“Selepas pandemik, inilah kali pertama kita dapat hadir majlis seperti ini, makan-makan, pakai cantik-cantik, jumpa teman setelah sekian lama, bergambar dan sebagainya jadi soalnya di sini, apa masalahnya? Kamu tidak buatkah?

Dalam pada itu, Rajasekaran turut memberikan beberapa contoh antara inisiatif yang telah dilakukan oleh MIC terutamanya di bawah teraju Tan Sri SA Vigneswaran beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya ketika musim pandemik Covid-19, musibah banjir dan banyak lagi.

“Kita jarang sekali anjur program-program amal dengan tujuan kutip derma orang awam, kalau kita buat sekalipun hanya dalam kalangan ahli sendiri atau orang korporat yang tampil dengan program CSR mereka.

“Untuk pengetahuan segelintir, saya hendak juga bercerita tentang apa yang telah dilakukan oleh MIC menggunakan dana parti serta peruntukan sedia bagi terus memperkasa kehidupan dan kebajikan masyarakat India di negara ini. Kita ada rekod, kita ada bukti bukan cakap kosong.

“Antaranya, ketika banjir, MIC telah membantu all out untuk lebih 5,000 keluarga dalam pelbagai bentuk, apabila PKP, kita telah salur 60,000 bakul makanan asas seluruh negara juga bantuan-bantuan lain mengikut keperluan, kita juga tampil membantu dengan menyediakan 23 kapal terbang bagi memastikan rakyat kita yang terperangkap di luar negara kembali pulang ke sini.

“Bukankah semua ini perlukan duit selain daripada peruntukan sedia ada? Baiklah. Ada lagi hendak saya tambah, sejak 1984 sehinggalah 2021, MIC melalui MIED telah menyalurkan RM169,871,579 bantuan pinjaman pendidikan dengan ada daripadanya di tukar menjadi biasiswa. Ramai telah berterima kasih dengan kita, ramai juga tampil membantu kita kini.

“Tahun ini sahaja kita telah peruntukkan lebih RM3 juta sebagai biasiswa dan pinjaman untuk pelajar kita. Banyak inisiatif lain juga sedang kita rangka dari masa ke semasa. Jadi apa logiknya kumpulan pro pembangkang ini bercakap atau menyoal MIC? Bila mereka buat majlis kutip derma, mana hilang duit-duit itu?” soalnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast