Sejajar dengan hala tuju strategik  menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025, reputasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus menyerlah di pentas global.

KUALA LUMPUR – Sejajar dengan hala tuju strategik  menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025, reputasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus menyerlah di pentas global.

Universiti komprehensif terbesar di Malaysia itu mengekalkan kedudukannya pada kedudukan 651-700 daripada 1,422 universiti dari 100 lokasi seluruh dunia berdasarkan keputusan penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2023 yang baru diumumkan.

UiTM dalam kenyataannya memaklumkan peningkatan prestasi ketara itu diukur menerusi indikator dalam kategori Reputasi Majikan dan Reputasi Akademik yang turut meletakkan UiTM di kedudukan ke-12 di Malaysia tahun ini.

“Sebagai institusi pengajian tinggi yang terbesar di Malaysia dengan bilangan kakitangan dan pelajar tertinggi dari 34 kampus di seluruh negara, UiTM telah melalui proses yang amat mencabar untuk menaikkan namanya dalam penarafan QS,” kata Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor.

Temubual Malaysia Gazette bersama Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Ts. Roziah Mohd Janor di Pejabat UiTM, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 09 DISEMBER 2021.

 

Reputasi Majikan terus menjadi indikator terbaik bagi UiTM yang kini mencapai kedudukan ke-195 di peringkat global dengan lonjakan lima anak tangga daripada prestasi tahun lepas.

Bagi tahun ketiga berturut-turut, UiTM juga terus meningkat dalam Reputasi Akademik dan telah berjaya mencapai kedudukan ke-317 dengan lonjakan 21 anak tangga berbanding tahun lalu dan 49 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Dalam konteks tempatan, Reputasi Akademik dilihat sebagai kekuatan utama UiTM apabila menduduki tempat keenam diikuti oleh Reputasi Majikan di tempat kelapan di Malaysia.

“Tahun ini, kita melihat 24 universiti di Malaysia telah disenaraikan dalam QS WUR 2023 – jumlah universiti yang tertinggi setakat ini untuk negara kita,” tambah Roziah.

Beliau yang berkongsi perasaan bangga dengan prestasi yang dicapai UiTM, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan, penyelidik, pelajar dan seluruh warga UiTM atas kerja keras dan kerjasama yang sentiasa diberikan.

Sebagai rekod, UiTM menduduki tempat ke-105 dalam QS Asia University Rankings 2022, pada kedudukan 651-701 dalam QS World University Rankings 2022 dan pada kedudukan 101-200 dalam penarafan THE Impact Rankings 2021.

Pada tahun 2021, subjek Hospitality and Leisure Management berada pada kedudukan 51-100 dunia dan 12 daripada subjek UiTM lainnya telah tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2021.

UiTM turut berada pada kedudukan ke-150 dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) Worlds University Rankings 2021.

Pada tahun 2020, UiTM telah memenangi pingat emas dalam QS APPLE Creative Awards bagi kategori Iklan Kreatif Terbaik di peringkat antarabangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast