Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2023 edisi ke-19 yang dikeluarkan pada 9 Jun lalu buat pertama kalinya menyenaraikan 24 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dalam penarafan ranking pada tahun ini.

Penarafan kali ini merupakan satu pencapaian tertinggi negara dalam prestasi IPT, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad.

Menurutnya, 10 universiti berjaya mengekalkan kestabilan setiap tahun, sembilan universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan, tiga universiti telah mencatatkan penurunan dan dua universiti adalah penyertaan baharu.

Penilaian QS WUR adalah berdasarkan kepada enam petunjuk prestasi utama iaitu reputasi akademik (40%), reputasi majikan (10%), nisbah pelajar:pensyarah (20%), nisbah sitasi:pensyarah (20%), pensyarah antarabangsa (5%) dan pelajar
antarabangsa (5%).

Sistem ranking ini menilai dalam tiga bidang utama iaitu impak penyelidikan, pengajaran dan pengantarabangsaan.

“Laporan QS WUR 2023 menunjukkan bahawa 12 daripada 24 universiti telah berjaya meningkatkan skor reputasi akademik (AR) berdasarkan kepada tinjauan 151,000 ahli akademik.

“12 daripada 24 universiti telah meningkatkan skor reputasi majikan (ER) berdasarkan kepada tinjauan 99,000 majikan dan pengurus pengambilan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, Universiti Malaya (UM) berjaya mengekalkan kedudukan 100 universiti teratas di dunia dengan berada pada kedudukan ke-70 meskipun turun lima anak tangga berbanding tahun 2022 (ke-65).

“Universiti awam (UA) dan universiti swasta lain turut menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan dengan mengekalkan kedudukan 300 terbaik universiti di dunia,” ujarnya.

Berdasarkan laporan yang sama, Universiti Putra Malaysia (UPM) naik berada dalam kelompok 123 (2023) berbanding 143 (2022).

Universiti Kebangsaan (UKM) pula naik ke tangga 129 (2023) berbanding 144 (2022) manakala, Taylor’s University berada pada kedudukan ke-284 (2023) berbanding 332 (2022).

Dengan kesungguhan, perancangan yang teliti dan strategi yang berkesan, Kementerian Pengajian Tinggi yakin dan percaya UA dan universiti swasta di Malaysia mampu untuk terus berdaya saing demi sebaris dengan universiti terkemuka dunia pada masa hadapan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast