KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon, Ellie Suriaty tidak terkejut apabila bekas suaminya, Azri Iskandar mengumumkan bakal berkahwin lagi sedangkan tempoh proses edah mereka masih belum habis.
Ellie berkata, dia sudah menyedari perubahan itu di hujung perkahwinan mereka selepas masing-masing bersetuju untuk bercerai dan membawa haluan masing-masing pada 17 Mei lalu.
“Saya tidak terkejut dan sudah boleh agak akan hal ini. Sebab itulah hati saya benar-benar bulat dan tekad untuk menarik diri daripada perkahwinan ini. Sebab saya dah rasa dia ada hubungan dengan wanita lain.
“Dan, waktu saya failkan cerai, saya tak perlu tanya lagi untuk dapatkan apa-apa kepastian atau kesahihan. Sebab saya kenal dia sangat sebagai suami selama 19 tahun.
“Selama tempoh itu, kita telah melalui segala susah senang bersama. Bila ada perubahan dalam rumahtangga, saya tahu hati dia ada pada orang lain dan bukannya dengan saya lagi,” katanya kepada portal Getaran.
Menurut Ellie lain, dia tidak mahu ambil kisah tentang siapa pun yang bakal dikahwininya.
“Lebih baik saya teruskan kehidupan ini demi anak-anak dan tumpukan perhatian kepada kerjaya seni saya. Sebab hidup ini terlalu bermakna untuk kita serabutkan otak dengan hal-hal sebegini.
“Sebelum bercerai, saya telah ambil keputusan yang cukup lama untuk memikirkan baik dan buruknya.
“Bahkan saya sudah memohon petunjuk daripada Allah SWT. Azri tidak tahu yang saya tahu apa dia lakukan di belakang saya.
“Tapi, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Kita sendiri dapat rasakan banyak perubahan yang sangat ketara. Lagi pun kita bukan baru kahwin setahun dua.
“Saya tak nafikan anda ramai perempuan di luar sana yang jauh lebih baik daripada saya. Tapi mereka bukan Ellie Suriaty yang sangat faham siapa Azri Iskandar,” katanya lagi.
Ellie Suriaty telah memfailkan permohonan cerai ke atas Azri Iskandar dan melalui prosiding mahkamah, mereka telah disahkan bercerai pada 17 Mei lalu.
Masing-masing juga sedang melalui proses edah selama tiga bulan yang akan berakhir pada 28 Ogos ini.
Sepanjang perkahwinan mereka, Ellie dan Azri dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: