KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu mendesak agar umat Islam di negara ini memboikot kesemua barangan keluaran India.
Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya berkata, tindakan awal itu perlu dilakukan sebagai tanda protes terhadap perbuatan dua ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) berhubung isu islamofobia dan menghina Nabi Muhammad SAW.
Tambah beliau, ia juga langkah awal bagi mendesak Perdana Menteri India, Narendra Modi bersama kerajaannya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam terhadap tindakan individu yang tidak bertanggungjawab itu.
“Tindakan memboikot ini bukan untuk kita menentang secara keseluruhan pada India tetapi ingin menyatakan apa tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh kerajaan itu terhadap tindakan dua ahli pemimpin BJP.
“Kita akan memantau tindakan mereka dan sekiranya tiada permohonan maaf atau apa-apa, kita lakukan gerakan memboikot secara besar-besaran seperti mana pernah dilakukan pada Mc Donalds dulu.
“Kemudian, mungkin kita adakan himpunan yang lebih besar-besaran untuk membantah seperti kita lakukan sebelum ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan kali kedua di Kedutaan India di Wisma HRIH Lotus di sini petang tadi.
Sekitar pukul 2 petang tadi, beberapa NGO Islam dan Melayu termasuk parti politik berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan India di sini bagi menyatakan bantahan terhadap dua pegawai pemerintah BJP yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, media dimaklumkan memorandum kali kedua yang ingin diserahkan kepada kedutaan hanya dibenarkan diletal di atas kerusi di ruangan menunggu bukan diterima oleh wakil kedutaan.
Ini kerana mereka telah dihalang melakukan penyerahan secara bersemuka kepada wakil Persuruhjaya Tertinggi India ke Malaysia.
Jelas Aminuddin, tindakan itu jelas mengecewakan malah tidak sensitif serta menghormati umat Islam di seluruh dunia secara amnya.
“Mereka tidak muncul ketika sesi penyerahan memorandum malah lebih mengecewakan pintu dikunci. Sikap ini jelas menggambarkan kerajaan India tidak sensitif dan begitu bencinya mereka terhadap umat Islam.
“Jadi saya menasihatkan India dan juga mereka yang menghina Rasulullah SAW segera memohon maaf dan tindakan perlu diambil terhadap dua aktivis itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette