Sebahagian bubu naga yang dirampas APMM di Sungai Juru, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas 35 set bubu naga di tiga lokasi berbeza di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Sungai Juru semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan bubu naga itu dilakukan sepasukan anggota menemui beberapa pelampung dalam keadaan mencurigakan antara pukul 3.30 hingga 4.15 petang.

Abd Razak.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Kesemua 32 bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,200 dan ia dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

“APMM akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette