ISKANDAR PUTERI – Pendekatan turun padang untuk melihat sendiri dan menyelami sesuatu isu serta permasalahan masyarakat akan terus menjadi ‘jambatan dan kaedah’ Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan kepimpinannya mendekati rakyat, sekali gus bertindak segera menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Mengakui berhadapan dengan situasi mencabar untuk membina semula ekonomi susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020, Onn Hafiz berkata beliau berusaha melaksanakan dan membuat penambahbaikan terhadap polisi-polisi kerajaan sedia ada untuk meneruskan kesinambungan dasar demi kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing Johor, yang menjadi pintu masuk utama selatan negara.
“Perkara utama ialah membina ekonomi. Nak jadikan Johor ini lebih berdaya saing daripada segi ekonomi dan dalam masa sama, saya juga hendak selesaikan isu-isu rakyat. Perkara asas seperti jalan raya, isu banjir, isu tanah, isu kesihatan dan sebagainya.
“Bagi saya, kalau kita hendak mengejar kemajuan untuk negeri Johor, saya hendak pastikan perkara-perkara asas diselesaikan dahulu, ia perlu berjalan serentak,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Mengimbau pentadbirannya yang akan memasuki 100 hari pada 24 Jun ini, Onn Hafiz yang mengangkat sumpah jawatan pada 15 Mac lepas, berkata beliau sejak dari awal lagi mengambil pendekatan untuk turun ke akar umbi bagi meninjau sendiri keadaan rakyat termasuk menyelami segala permasalahan yang perlu diperbaiki di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, saya sudah pergi kesemua 10 daerah dan itu adalah sebahagian daripada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya secara peribadi, sebab saya hendak tahu keadaan di setiap daerah dan saya tidak turun seorang. Saya kerja berpasukan dengan barisan Exco dan saya perlu membuat mereka mempercepat dan mereka kena tahu keadaan di setiap daerah di Johor.
“Jadi kita (telahpun) berjumpa semasa bulan puasa dan raya (tempoh hari) dengan setiap perjumpaan (melibatkan) sesi dengan pejabat daerah untuk memahami keadaan terkini,” kata Menteri Besar Johor ke-19, yang acap kali menekankan keutamaan mengukuhkan perkara-perkara asas di negeri Harimau Selatan, yang mempunyai 3.8 juta penduduk.
Kebelakangan ini, Onn Hafiz ‘mencuri’ perhatian khususnya masyarakat Johor apabila sering turun padang meninjau lokasi dan premis perkhidmatan awam untuk melihat sistem penyampaian perkhidmatan yang sering digunakan oleh rakyat.
Antara yang dilakukan beliau termasuk menyamar menjadi pengguna biasa dengan menaiki bas dari Johor Bahru Sentral ke Singapura selain meninjau situasi di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di Johor Bahru dan memeriksa keadaan infrastruktur asas seperti laluan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Memanfaatkan penggunaan teknologi komunikasi menerusi media sosial, Menteri Besar berusia 44 tahun itu menyifatkan penggunaan Facebook, Twitter dan WhatsApp sebagai medium untuk menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai sesuatu isu berbanding sidang media adalah cara terpantas untuk menyampaikan maklumat sekali gus menyangkal dakwaan kononnya beliau mengetepikan pihak media.
“Saya melihat sebagai pemimpin pada era moden ini, kita tidak boleh lari daripada menggunakan media sosial tetapi ini tidak bermaksud saya mengetepikan media dan kalau ada sidang media dan interview (wawancara) seperti ini, saya lebih gembira untuk melakukannya.
“Saya juga menerima banyak maklum balas daripada media sosial sebab bila dia (orang ramai) hantar laporan, kadang-kadang laporan bergambar, selepas itu bukan gambar sahaja, kadang-kadang video dan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, takkan saya hendak abaikan? Saya kena mengambil tindakan yang termampu untuk menyelesaikan isu-isu,” katanya.
Menyentuh tentang Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor, manifesto parti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lepas, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri komited untuk menyampaikan kesemua ikhtiar merangkumi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, Orang Muda Johor (OMJ), membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksanakan reformasi politik demi kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini.
“Berkenaan dengan reformasi politik, nak kena ubah enakmen negeri bukan sahaja untuk (Enakmen) Anti Lompat Parti, ada beberapa lagi enakmen yang saya akan tengok tetapi saya akan simpan untuk amanat 14 Jun ini.
“Jadi sebelum saya boleh ubah di negeri ini, sekali lagi… kena selaraskan dengan Persekutuan, biarlah Persekutuan selesaikan di peringkat Parlimen dahulu. Setelah selesai di Parlimen, barulah kita selesaikan di Johor,” katanya.
Selasa ini, Menteri Besar Johor itu dijadual membentangkan visi dan misi Johor bagi tempoh lima tahun pada majlis amanat yang akan dihadiri oleh penjawat awam negeri dan Persekutuan.
Onn Hafiz, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020. – Bernama