Arul Kanda Kandasamy

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan akan menyampaikan keputusan sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy perlu memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan syarikat itu, esok.

MalaysiaGazette difahamkan Arul Kanda tidak pernah bersetuju untuk menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.

Walaupun menjadi saksi pendakwaan Arul Kanda tetap berdepan dengan tuduhan bersubahat dengan Datuk Seri Najib Razak dalam meminda laporan audit 1MDB.

Sebelum ini Timbalan Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, permohonan dilakukan kerana pihaknya berpendapat Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh mempengaruhi keputusan kes pendakwaan terhadap Najib.

Sri Ram berkata, pihaknya mengemukakan permohonan lisan itu supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan permohonan pendakwaan bukan perkara biasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah moden negara.

Muhammad Shafee berhujah, pendakwaan perlu memenuhi peruntukan Seksyen 63 Akta SPRM dan mengemukakan permohonan serta mesti memuaskan hati mahkamah.

Sebelum ini permohonan seumpama iti pernah dipohon dalam kes-kes berprofil tinggi antaranya dalam prosiding rasuah pembekalan tenaga solar ke sekolah pedalaman di Sarawak yang di hadapi oleh isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Datuk Rizal Mansor yang pada awal dikaitkan dengan kes itu akhirnya menjadi saksi pendakwaan dan bukan lagi tertuduh.

Namun berbeza sekali kerana dalam kes ini, Arul Kanda akan tetap dituduh. – MalaysiaGazette

Tindakan panggil Arul Kanda jadi saksi pendakwa luar biasa – Shafee

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette