Former Chief Executive Officer of 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy arrives at the Kuala Lumpur Court High Court for his trial on tempering the 1MDB final audit report. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba ke mahkamah bagi perbicaraan kes pindaan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy yang bersama-sama Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB mungkin ‘bertukar’ menjadi saksi pendakwaan dalam kes ini.

Arul berkemungkinan akan memberi keterangan terhadap bekas perdana menteri dalam kes yang sedang dihadapi bersama olehnya.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya yang mengetuai pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon kepada mahkamah supaya Arul dipanggil untuk memberi keterangan memandangan tertuduh mempunyai maklumat penting berkaitan tranksaksi audit pindaan tersebut.

“Yang Arif, tertuduh ini mempunyai maklumat berhubung transaksi ke atas tertuduh bersama (Najib Razak)  yang akan memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan.

“Arul mempunyai maklumat dalam simpanannya berkaitan dengan pertuduhan terhadap tertuduh satu lagi (Najib) berhubung pertemuan yang diadakan pada 24 Februari 2016.

“Beliau juga mempunyai maklumat berkaitan kejadian susulan berkaitan pertemuan yang penting bagi kes ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan di sini sebentar hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba ke mahkamah bagi perbicaraan kes pindaan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 MEI 2022.

Untuk makluman, sebelum ini pada November 2019, pendakwaan pernah memaklumkan kepada mahkamah ada kemungkinan pihaknya akan memanggil Arul untuk memberi keterangan.

Seandainya mahkamah membenarkan permohonan ini, Arul di jangka memberi keterangan terhadap Najib selepas saksi penolong pesuruhjaya SPRM.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit memberitahu mahkamah bahawa permohonan pendakwaan ini bukanlah sesuatu yang biasa sebaliknya kali pertama dalam sejarah negara.

Kata Sri Ram kepada hakim, pihaknya kemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 63 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun kata Muhammad Shafee pendakwaan perlu terlebih dahulu memenuhi peruntukan dan perlembagaan Seksyen 63 SPRM.

“Permohonan ini perlu memuaskan hati mahkamah terlebih dahulu. Ini budi bicara mahkamah, ada beberapa isu dalam permohonan ini,” kata Muhammad Shafee.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar permohonan itu.

Ketika ini, mahkamah sedang mendengar keterangan saksi pendakwaan berhubung dakwaan Najib meminta pindaan pada laporan audit khas 1MDB, sebelum dibentangkan kepada PAC di Parlimen pada Mac 2016.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette