Presiden AMANAH, Mohamad Sabu beramah mesra bersama orang awam semasa bersarapan di Restoran Chong Kok, Jalan Stesen, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2022.

KLANG – Parti Amanah Negara (Amanah) akan menurunkan jenteranya ke Kelantan untuk menjelaskan kepada rakyat negeri itu bahawa Pas tidak lagi relevan.

Presidennya, Mohamad Sabu mendakwa sejak dua pemimpin utama parti itu, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia, perjuangan Pas tidak lagi dilihat begitu ketara dalam memperjuangkan Islam.

“Sebelum ini, kalau rakyat merungut mengenai masalah air dan pembangunan, mereka beri alasan Pas tak ada kuasa dan sekadar sebagai parti pembangkang.

“Sekarang parti itu sudah bersama kerajaan persekutuan. Ada menteri, ada timbalan menteri di peringkat pusat, namun, masalah air dan pembangunan di Kelantan tidak banyak berubah.

“Alasan mereka sekarang kalau masih tak ada kuasa nak selesaikan masalah itu, dianggap tidak lagi relevan,” katanya kepada MalaysiaGazette pada program bersama penduduk di sebuah warung di Kampung Sungai Kandis hari ini.

Kata beliau, Amanah akan membantu pemimpinnya di Kelantan untuk menjelaskan kepincangan pentadbiran kerajaan Pas yang sebenarnya masih lagi bergantung harap pada pembalakan sebagai sumber hasil negeri.

Sepatutnya, kata Mat Sabu, apabila Pas sudah menjadi kerajaan bersama dalam Perikatan Nasional (PN), masalah air tidak lagi berbangkit dan berusaha membawa pelaburan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

“Amanah akan turun habis-habisan. Kita nampak… lagi pulak Pas sekarang ini kita nampak jadi hairan, hudud tak cakap langsung, hal asabiyah tak cakap langsung, hal rasuah tak cakap langsung,” katanya.

Beliau juga hairan apabila Pas berada dalam kerajaan persekutuan, indeks rasuah semakin naik.

“Ertinya mereka tak buat apa-apa dan mereka bersama dalam kumpulan yang terlibat menaikkan indeks rasuah. Itu saya amat kesal.

“Saya bersama Pas selama 37 tahun, sekarang apabila mereka jadi begini selepas ketiadaan tok guru Nik Aziz dan ustaz Fadzil Noor, memang nampak begitu ketara.

“Sikap mereka hanya mementingkan rebut jawatan, GLC, senator dan beberapa kedudukan, mereka tak peduli lagi hal berkaitan amal makruf nahi mungkar yang menjadi asas perjuangan kami dulu,” tegas bekas Timbalan Presiden Pas itu. – MalaysiaGazette