KOTA SAMARAHAN – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan awal pengajian kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) Cawangan Sarawak Kampus Kota Samarahan.
Bantuan itu diberikan kepada 160 pelajar dari dua institut pengajian tinggi itu sebagai persediaan mereka untuk memulakan pengajian.
Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berharap, lebih banyak agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) tampil dan mengikut jejak langkah YBR membantu mereka yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
Kata beliau, kira-kira RM160,000 diperuntukan kepada pelajar UNIMAS dan UITM Cawangan Sarawak dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Mereka ini menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi memulakan pengajian di semester yang baru.
“Setiap mereka menerima bantuan RM1,000 untuk persiapan atau persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru sahaja bermula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Megat Zulkarnain turut menyerahkan replika cek bantuan awal itu kepada Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Rektor UITM Cawangan Sarawak, Prof. Datuk Dr. Jamil Hamali.
Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Menurut Megat Zulkarnain, misi YBR ialah membantu pelajar dari keluarga kurang bermampuan melibatkan masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar.
Katanya, bantuan itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya harap melalui inisiatif seperti ini dapat meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda di seluruh negara.
“Program ini juga sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung ibu bapa dan pelajar IPT sebelum mereka mendapat bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada.
“Kita amat mengalu-alukan bantuan seperti ini kerana sekurang-kurangnya pelajar ini mendapat perhatian pihak luar dan memberikan rasa keterujaan untuk mereka membuat persiapan memasuki pengajian sama seperti yang lain,” katanya.
Kata beliau, bantuan awal pengajian yang berobjektifkan membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan terutama B40, dapat memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam negara.
Bantuan permulaan itu, katanya, diharapkan dapat melahirkan pelajar yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan serta berdaya saing di semua peringkat.
Megat Zulkarnain turut menjelaskan, sehingga kini seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan kira-kira RM2.2 juta sejak 2017.
Untuk tahun ini, ujarnya, sejumlah RM1 juta diperuntukan bagi bantuan berkenaan. – MalaysiaGazette