Ahmad Zahid Hamidi Nur Jazlan Ismail Sabri weakest PM
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak penyokong bola sepak pasukan negara agar mengenepikan ‘teori ke laut’ Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu percaya sorak gemuruh rakyat Malaysia akan membakar semangat pemain untuk bermain dan mengalahkan pihak lawan di padang stadium.

“Saya fikir kekalahan tipis Harimau Malaya kepada Bahrain tempoh hari tiada kaitan dengan sorakan penyokong Malaysia malah dengan sorakan gemuruh daripada penonton akan membakar semangat semua pemain bola sepak.

“Belum pernah pemain bola sepak negara kita bermain di padang tertutup tanpa penyokong kecuali ketika latihan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, ketika mengulas kekalahan pasukan Harimau Malaysia dalam perlawanan dengan Bahrain, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, ia antaranya berpunca daripada faktor luaran termasuk sorakan lebih 64,000 penonton dalam stadium.

Katanya, sorakan itu menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus ketika perlawanan.

Bagaimanapun hari ini, Ahmad Faizal menyatakan ramai netizen menyalahtafsirkan kenyataannya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, kekalahan itu bukan disebabkan pemain hilang fokus sehingga terlepas jaringan gol kerana bukan kali pertama pemain negara beraksi di hadapan penyokong.

“Nasib baik bukan dia yang jadi jurulatih atau pemain. Mungkin bunyi makan kuaci pun disalahkan kerana mengganggu konsentrasi.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan penyokong Harimau Malaya abaikan saja teori ke laut itu.

“Teruskan semangat menyokong demi negara. Semoga pasukan bola sepak negara kita berjaya wahai Harimau Malaya. Doa kami mengiringi perjuanganmu,” katanya.

Malaysia bakal berdepan Bangladesh pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Selepas dua perlawanan, Bahrain di kedudukan teratas Kumpulan E dengan enam mata, Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengumpul tiga mata di tempat kedua dan ketiga, manakala Bangladesh tercorot tanpa mata. – MalaysiaGazette