KUALA LUMPUR – Sebuah bas milik Rapid KL terbakar di Stesen LRT SS15, petang tadi.
Menerusi ciapan di Twitter, Rapid KL memaklumkan kebakaran itu berlaku kira-kira jam 3.00 petang membabitkan sebuah bas laluan 771 dari Desa Mentari menghala Subang Mewah USJ 1.
Tambahnya, kejadian berlaku ketika bas itu sedang berhenti untuk mengambil penumpang di Stesen LRT SS15.
“Pihak bomba telah dihubungi sejurus selepas kejadian berlaku dan tiba di tempat kejadian pada 3:05 petang. Terdapat seorang penumpang di dalam bas.
“Bagaimanapun, penumpang serta kapten bas tidak mengalami sebarang kecederaan. Selain itu, tiada kerosakan pada harta benda awam dan kebakaran berjaya dikawal,” katanya.
Jelas Rapid KL, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh dengan polis bagi menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan. – MalaysiaGazette