LONDON – Satu memorandum berkaitan kajian peningkatan kos sara hidup pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di United Kingdom (UK) diserahkan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Memorandum itu disediakan oleh Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland dan diserahkan oleh Pengerusinya, Muhammad Iman Irfan Yahya di London semalam.
Dalam satu kenyataan kepada media, Mahdzir yang dalam rangka lawatan kerja ke UK berkata, memorandum 30 muka surat itu akan di bawa ke peringkat pengurusan tertinggi kementerian dan Mara untuk penelitian.
“Mereka telah mengemukakan kertas cadangan mengenai peningkatan elaun sara hidup bagi pelajar tajaan Mara dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Saya telah mendengar dengan panjang lebar taklimat yang telah diberikan oleh Pengerusi Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland mengenai kenaikan kos sara hidup di kota London, Manchester, Edinburg dan juga di Ireland,” katanya, semalam.
Mahdzir sebelum itu menghadiri Sesi Sembang Santai bersama pemimpin pelajar dari London, Manchester, Wales, Cardif, Edinburg dan Glasgow.
Jelas Mahdzir, memorandum itu disediakan menerusi satu kajian khas yang dilaksanakan oleh Kelab UMNO United Kingdom dan Ireland.
Kajian membabitkan responden seramai 400 pelajar tajaan Mara dan juga lain-lain agensi.
Sementara itu, menurut Muhammad Iman Irfan, pihaknya mengambil masa selama dua bulan menyiapkan kajian memorandum itu.
“Kami telah unjurkan beberapa cadangan dan beberapa idea untuk dibawa kepada peringkat kementerian.
“Jadi saya harap dengan penyerahan kertas cadangan itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid dapat memperhalusinya dengan YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk membantu pelajar di sini.”
Tambah beliau, kos sara hidup pelajar Malaysia di luar negara sangat membebankan dan menjejaskan tumpuan pengajian pelajar yang rata-ratanya adalah daripada kalangan kumpulan B40.
Ini menyebabkan sebahagian besar pelajar terpaksa melakukan kerja sambilan bagi menampung kos sara hidup, ujarnya.
Menurutnya, elaun sara hidup pelajar Mara ke luar negara perlu dinaikkan segera memandangkan bayaran elaun itu tidak dinaikkan sejak 12 tahun lalu.
“Memang sebahagian besar memang terpaksa bekerja, masa belajarnya memang diluangkan untuk bekerja lebih-lebih lagi di London ini elaun itu memang tidak cukup.
“Disebabkan beberapa faktor yang lain memang mengakibatkan pelajar tajaan MARA dan JPA ini memang terkesan kalau nak dibandingkan elaun mereka dengan elaun pelajar tajaan lain memang mempunyai jurang yang jauh”, kata Muhammad Iman Irfan.
Selain kepada Mahdzir, memorandum yang sama turut diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Dalam pada itu, Datuk Azhar menjelaskan, Mara mengambil serius kandungan memorandum itu untuk menjaga kebajikan pelajar tajaannya bukan sahaja di luar negara, malah juga di dalam negara.
“Kita di pihak Mara akan menggunakan memorandum tersebut sebagai sebahagian daripada data kita untuk melihat semula kadar elaun sedia ada dan kita akan gunakan juga untuk kita menyiapkan kertas kerja permohonan untuk mempertimbangkan semula kadar elaun yang sepatutnya kita akan mohon kepada kerajaan untuk dipertimbangkan untuk kita berikan kepada para pelajar,” ujarnya. – MalaysiaGazette