KUALA LUMPUR – Perdana Menteri melahirkan rasa sedih serta merakamkan ucapan takziah atas pemergian ahli akademik dan pendidik terbilang, Tun Arshad Ayub awal pagi ini.

Menerusi hantaran di Facebook milik beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jasa tokoh pejuang pendidikan amat besar sumbangannya pada negara.

“Negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia. Allahyarham seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara.

“Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi Mara(UiTM) sudah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini. Kini universiti itu melahirkan lebih 700,000 graduan,” katanya beliau hari ini.

Ismail Sabri berkata, allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi.

“Beliau turut terbabit merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara yang menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru.

“Keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani,” katanya.

Beliau yang turut mewakili rakyat negara ini mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan Allahyarham.

“Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tun Arshad Ayub meninggal dunia