KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengakui tidak mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan rakyat berhubung janji-janji manis yang ditabur parti itu ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) yang lalu.
S. Gobi Krishnan yang kini Ketua Penerangan Pusat Sayap Bersekutu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ramai dalam kalangan pemimpin akar umbi PKR dan PH tidak mampu untuk menjelaskan tuntutan yang dibangkitkan rakyat.
Dengan memberikan contoh, Gobi berkata, kegagalan kerajaan PH yang paling jelas ialah apabila Pengerusi parti berkenaan ketika itu iaitu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyatakan bahawa manifesto PH bukanlah sebuah janji.
“Ini mengecewakan ramai pemimpin dan penyokong PH terutamanya yang harusĀ menghadapi rakyat dan menjawab segala macam persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat.
“Saya juga menjadi saksi kemabukan kuasa sebilangan pemimpin PH pada masa itu terutamanya dalam Pakatan Harapan Indian Council yang dianggotai oleh kesemua wakil rakyat PH serta pemimpin utama parti rakan strategik yang mana saya sebagai wakil Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) selaku timbalan presidennya.
“Pemimpin-pemimpin utama PH dalam majlis ini hanya bertelingkah soal siapa mahu menjadi pengerusi majlis ini yang dianggap secara automatiknya akan menjadi pemimpin utama kaum India bagi PH dan bukannya soal isu masyarakat India atau Janji Manifesto Khas Masyarakat India yang dilancarkan oleh PH semasa kempen PRU 14.
“Akhirnya hampir kesemua janji ini tidak ditunaikan, yang menyebabkan masyarakat India berasa marah dan kecewa dengan kerajaan PH ini….kekecewaan mereka ditunjukkan kepada kami yang terpaksa berhadapan dengan mereka selaku pemimpin akar umbi PH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Gobi mendakwa, pengkhianat sebenar adalah sebilangan besar pemimpin-pemimpin PH yang telah menyimpang jauh dari asas perjuangan sebenar.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digembar-gemburkan sebagai punca berlakunya Langkah Sheraton bukanlah pengkhianat sebagaimana tuduhan yang dibuat.
“Walaupun kedua-dua pihak menuding jari kepada satu sama lain sebagai pengkhianat, namun kita harus sedar bahawa ini bukanlah masa sesuai untuk berbuat demikian.
“Ini kerana matlamat dan aspirasi kedua-dua kumpulan adalah sama, iaitu mahu mengembalikan mandat rakyat yang diberi pada PRU14, walaupun cara mereka mungkin berbeza,” katanya.
Dalam pada itu menurut Gobi lagi, ramai dalam kalangan rakan-rakannya termasuk beliau sendiri berasa dikhianati oleh PH.
Ini kerana katanya, selepas PRU14, mereka melihat pemimpin-pemimpin PH telah melupakan sebab kenapa mereka diletakkan dipuncak kuasa.
“Mungkin mereka lalai dilambung ombak kuasa kerana dapat merasa nikmat menjadi menteri dan diberi segala macam keistimewaan.
“Maka, mereka lupa bagaimana mereka pernah bersama-sama dengan penyokong mereka, tidur berlantaikan jalan raya semasa berada dalam perjuangan menentang Barisan Nasional,” tambahnya. – MalaysiaGazette