Former Chief Executive Officer of 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy arrives at the Kuala Lumpur Court High Court for his trial on tempering the 1MDB final audit report. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba ke mahkamah bagi perbicaraan kes pindaan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Persetujuan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kandasamy yang bersedia menjadi menjadi saksi pendakwaan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB ketika ini didakwa telah diambil ‘di luar konteks’ oleh segelintir media.

Peguam yang mewakili Arul Kanda, Datuk N Sivanathan berkata, walaupun guam beliau bersedia menjadi saksi pendakwaan dalam kes ini tetapi Arul Kanda masih tertuduh dalam kes ini.

Kata Sivanathan, ada tajuk-tajuk media yang memberi gambaran bahawa anak guamnya gembira untuk memberi keterangan saksi pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan dengan kes Pindaan Audit Laporan 1MDB.

“Walaupun anak guam saya menjadi saksi pendakwaan beliau tetap akan dituduh dalam kes ini.

“Persetujuan anak guam saya menjadi saksi dan beliau kononnya gembira itu sebenarnya telah diambil luar dari konteksnya. Beliau juga bersetuju dengan permohonan pendakwaan kerana beliau wajib memberi keterangannya mengikut peruntukan Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dan sekiranya dalam permohonan ini hakim dapati Arul Kanda perlu beri keterangan bagi pendakwaan, maka anak guam saya pastinya akan beri keterangan yang sama, konsisten yang pernah diberikannya pada SPRM sebelum ini. Itu sahaja,” katanya.

Arul Kanda sedia jadi saksi pendakwaan kes pindaan laporan audit 1MDB

Kata Sivanathan lagi, Arul Kanda tetap berpegang dengan pendirian keterangan beliau adalah sama dengan yang pernah diberikannya kepada SPRM apabila menjadi  saksi pendakwaan kelak.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan ketika itu mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Kedua-dua mereka sedang didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Tinggi yang sedang mendengar kes pindaan laporan audit ini, Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan 24 Jun depan bagi memutuskan sama ada permohonan pendakwaan ini dibenarkan atau sebaliknya.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, permohonan  oleh pendakwaan itu kerana berpandangan Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh mempengaruhi keputusan kes pendakwaan terhadap Najib.

Sri Ram berkata, pihaknya mengemukakan permohonan lisan itu supaya Arul Kanda memberikan keterangan sebagai saksi pendakwa mengikut Seksyen 63 Akta SPRM.

Bagaimanapun peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan permohonan pendakwa bukan perkara biasa dan ia adalah kali pertama dalam sejarah moden negara.

Muhammad Shafee berhujah, pendakwa mesti memenuhi peruntukan Seksyen 63 SPRM dan mengemukakan permohonan serta mesti memuaskan hati mahkamah.

Untuk makluman, permohonan seumpama ini pernah berlaku dalam kes-kes berprofil tinggi sebelum ini.

Antaranya dalam prosiding rasuah pembekalan tenaga solar ke sekolah pedalaman di Sarawak yang di hadapi oleh isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam kes itu, Datuk Rizal Mansor yang pada awalnya turut dikaitkan dengan kes tersebut akhirnya menjadi saksi pendakwaan dan bukan lagi tertuduh, sama juga kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Datuk Tan Eng Boon.

Namun berbeza sekali kerana dalam kes ini, Arul Kanda akan tetap dituduh, kata peguamnya. -MalaysiaGazette