Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hadir bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kandasamy hari ini menyatakan kesediaannya menjadi saksi pendakwaan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB.

Persetujuan itu telah disahkan sendiri oleh peguam mewakilinya, Datuk N. Sivanathan ketika disoal Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Ketika Sivanathan memberi penjelasan  mengapa Arul Kanda bersetuju menjadi saksi pendakwaan bagi memberi keterangan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohamed Zaini memotong hujahnya.

“Cakap dalam bahasa Inggeris (bahasa mudah), adakah anak guam anda bersetuju untuk jadi saksi pendakwaan?” soalnya sambil ketawa.

Untuk seketika mereka yang berada di galeri mahkamah juga ketawa.

“Ya. Yang Arif, anak guam saya bersetuju dengan permohonan oleh pendakwaan menjadi saksi untuk kes ini,” kata Sivanathan.

Bagaimanapun Sivanathan menegaskan, anak guamnya tetap berpendirian semua kenyataan yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan sama dengan keterangannya yang akan diberikan kelak ketika menjadi saksi kelak. 

“Itu pendirian anak guam saya, semua yang telah dikatakan itu kepada SPRM akan sama dengan keterangan ketika menjadi saksi nanti,” ujarnya.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 24 Jun ini bagi membuat keputusan sama ada membenarkan permohonan pendakwaan yang mahu Arul Kanda tampil menjadi saksi.

Untuk makluman, Najib dan Arul Kanda bersama-sama sedang berdepan dengan tuduhan meminda laporan syarikat pelaburan strategik itu.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan ketika itu dalam mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Kedua-dua mereka sedang didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan.

Atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keputusan Arul Kanda jadi saksi pendakwaan kes pindaan laporan audit 1MDB esok