Mahdzir Khalid bergambar kenangan bersama Blaine Judd di ibu pejabat IRSE di London.

KUALA LUMPUR – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencipta sejarah tersendiri dalam bidang pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menjadi universiti pertama di Asia Tenggara menjalin kerjasama dengan badan perlesenan antarabangsa berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.

Kerjasama itu dicapai menerusi kolaborasi bersama Institute of Railway Signal Engineers United Kingdom (IRSE) yang ditubuhkan lebih 100 tahun lalu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, satu perjanjian khusus akan dimeterai bersama IRSE bagi membolehkan UniKL menawarkan kursus di peringkat diploma lanjutan dan sijil kompetensi yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Selepas ini pihak MARA akan ada kesinambungan dengan UniKL untuk membolehkan akhirnya kita dapat satu persetujuan di antara UniKL dan IRSE dan salah satu yang saya nampak adalah pembangunan tenaga pakar dan profesional dalam bidang rel.

“Keduanya ada kolaborasi dari segi keahlian untuk Malaysia dan barangkali kita boleh menjadi pusat penilaian dan wakil IRSE di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media ketika mengadakan lawatan ke United Kingdom, hari ini.

Mahdzir sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif IRSE, Blaine Judd di ibu pejabat IRSE di London bagi memuktamadkan kolaborasi bidang yang dipersetujui bersama itu.

Turut menyertai lawtan itu Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf serta Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin.

“Ini saya sebut dalam perjumpaan tadi bahawa kita akan ada banyak perbincangan di peringkat pegawai MARA dan juga UniKL untuk membolehkan kerjasama antara UniKL dan IRSE ini dapat diperluaskan,” jelas Mahdzir lagi.

Menerusi kolaborasi itu, Pusat Rel Asia UniKL dilantik sebagai Pusat Penawaran Program Pembangunan Profesional bermula di peringkat sijil dan diploma lanjutan dalam bidang kawalan isyarat yang diperakui oleh pihak IRSE.

Dalam pada itu, IRSE turut bersetuju menjadikan UniKL sebagai pusat penilaian kepada mana-mana individu profesional serta jurutera bidang kawalan isyarat yang akan dinilai oleh Pusat Rel Asia UniKL dan juga IRSE untuk membolehkan mereka mendapat persijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.

IRSE juga kata Mahdzir, menawarkan Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur Konvensyen Antarabangsa IRSE pada tahun 2025.

IRSE yang ditubuhkan pada tahun 1912, kini mempunyai 5,000 ahli dari 53 buah negara serta mempunyai 5,759 pemegang lesen profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat dan telekomunikasi pengangkutan rel.

“Kita di UniKL di bawah MARA mempunyai fakulti yang berkaitan dengan rel dan kita telah ada universiti ini lebih kurang dalam tujuh tahun yang lalu menawarkan ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan rel.

“Setakat ini kita mempunyai 180 orang pelajar dan baharu sahaja melahirkan seramai tujuh orang graduan dalam bidang tersebut”, jelas Mahdzir.

Sementara itu, Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin berkata, bidang sistem kawalan isyarat komunikasi pengangkutan rel mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan yang boleh dimanfaat oleh pelajar UniKL.

“Kita juga mempunyai keperluan daripada operator untuk mendapat tenaga kerja pakar dan kompetensi.

”Dengan pensijilan daripada IRSE, graduan-graduan yang kita lahirkan akan dapat bekerja dan diiktiraf bukan sahaja diperingkat Malaysia malah ia diiktiraf diperingkat ASEAN dan itu hasrat pertama kita dan tentulah kita ingin melihat kita mampu melatih pelajar atau graduan kita sehingga diperingkat boleh bekerja dan diiktiraf diperingkat global,” katanya.

Untuk itu, UniKL akan membuat padanan semula subjek-subjek program diploma dan ijazah  berkaitan selaras dengan keperluan IRSE.

“Bidang kawalan isyarat ini merupakan salah satu sistem kritikal dalam pengoperasian rel dan sudah tentu bila kita mempunyai tenaga kerja yang kompeten yang diiktiraf, ia akan menjadikan sistem keretapi kita di peringkat Malaysia dan ASEAN berada pada satu tahap selamat dan lebih efisien”, jelas Azman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast