Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera memikirkan jalan penyelesaian terhadap peningkatan harga bahan-bahan binaan bagi mengelak bebanan terhadap pengguna.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan berkata, lonjakan harga bahan-bahan itu didorong oleh kenaikan kos pembinaan yang berpunca daripada masalah rantaian bekalan bahan binaan dan tenaga kerja.

Katanya, pelbagai faktor lain seperti premium tanah yang tinggi, permintaan daripada pembeli luar negara dan juga spekulator turut menjadi faktor langsung kepada pasaran harga rumah.

“Berdasarkan kajian dan kenyataan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), jika kos pembinaan terus meningkat dan pemaju tidak boleh menyerap kenaikan ini, kemungkinan besar pengguna yang akan menanggungnya.

“Oleh kerana kos bahan binaan menyumbang 50 peratus hingga 60 peratus dari jumlah nilai pembangunan projek, kenaikan kos pembinaan sebanyak 20 peratus akan menyebabkan kenaikan harga rumah sebanyak 10 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, keadaan yang berlaku pasti akan menimbulkan kebimbangan tentang kemampuan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Keadaan akan menjadi lebih mencabar apabila ramai yang mengalami tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19 serta kos sara hidup yang lebih tinggi hingga menjejaskan kuasa beli mereka, ujarnya.

Lantaran itu, kerajaan perlu terus meningkatkan bekalan rumah mampu milik yang selesa untuk semua.

Menurut Shahir lagi, kerajaan sebenarnya boleh memperlahankan permintaan bar keluli dan simen.

“Apabila permintaan bar keluli dan simen domestik merosot, harga pasaran domestik dapat dikawal. Tanpa bekalan tambahan semasa tempoh tersebut dan aktiviti pembinaan yang perlahan, secara teorinya harga domestik keluli akan jatuh,” ujarnya.

Namun begitu, disebabkan banyak lagi faktor lain seperti premium tanah dan sebagainya, kerajaan juga perlu melihat kepada penyelesaian untuk membina rumah mampu milik di pinggir kota.

“Kita tidak mahu rakyat generasi milenia dan anak muda hari ini hidup tanpa memiliki rumah kediaman,” tambahnya. – MalaysiaGazette