KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di siniĀ diselubungi suasana sebak sepanjang hari.
Jika pagi tadi tertuduh kes penganiayaan dan pengabaian remaja kurang upaya Bella, Siti Bainun Ahd Razali mengalirkan air mata apabila enam anak asuhannya berada di mahkamah, petang ini Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas pula menitiskan air mata.
Situasi berlaku selepas mahkamah memainkan dua video daripada telefon milik saksi pertama Zurianty Sudin, 39.
Dua video yang berdurasi 6 minit 32 saat dan 41 saat tersebut merupakan rakaman yang dibuat oleh Zurianty menggunakan telefon berwarna merah ketika menyelamatkan Bella daripada kondominium milik Siti Bainun.
Video tersebut telah melalui proses peningkatkan imej dan audio yang dilakukan oleh Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Inspektor Meor Shamsul Abdul Rahman, 38.
Selepas melalui proses tersebut, kecederaan yang dialami oleh Bella pada anggota tubuhnya kelihatan lebih jelas dengan luka yang kelihatan parah serta bekas parut yang ketara.
Zilfinaz yang sebak selepas video dimainkan tidak dapat meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap Meor Shamsul yang merupakan saksi ke-10 pihak pendakwaan.
“Minta maaf yang arif saya mohon penangguhan,” kata Zilfinaz yang sebak dengan suara yang hampir tidak keluar.
Hakim Izralizam Sanusi kemudiannya menangguhkan perbicaraan selama 8 minit bermula pukul 4.01 petang hingga 4.08 petang.
Sebelum itu Meor Shamsul memberitahu mahkamah bahawa dia telah menjalankan proses mengekstrak data yang dikehendaki daripada telefon bimbit Zurianty dengan menggunakan perisian XRY.
“Merujuk kepada permohonan pegawai penyiasat dalam kes ini adalah untuk menjelaskan gambar kecederaan dari video bertarikh 24 Jun 2021.
“Saya telah capture dan menganalisa imej yang dikehendaki dari video yang telah dikeluarkan dari telefon bimbit dengan kaedah zooming dan sharpness dengan menggunakan perisian yang dinamakan Video Investigator,” katanya,
Menurutnya, setelah selesai proses analisis beliau telah mencetak lapan muka surat imej yang dikehendaki dan menyediakan satu laporan.
Meor Shamsul turut memberitahu beliau juga melakukan forensik analisis terhadap video bertarikh 12 Februari 2021 yang menunjukkan Bella sedang berada di ruang dapur.
Beliau juga diminta untuk meningkatkan kualiti dan memegunkan gambar dalam video bertarikh 21 Mei 2021 yang menunjukkan Bella berada di ruangan dapur sambil makan berdiri.
Selain itu dia juga diarahkan untuk meningkatkan kualiti gambar bertarikh 22 Mei 2021 semasa sambutan hari raya yang menunjukkan kesan kecederaan di muka dan leher Bella.
“Saya telah capture dan menganalisa imej yang dikehendaki dari video yang terkandung di dalam DVD dengan menggunakan kaedah zooming dan sharpness.
“Setelah selesai proses analisis saya telah cetak enam muka
surat imej yang dikehendaki dan menyediakan satu laporan analisis.
“Setelah selesai proses analisa saya telah menyerahkan semula DVD beserta laporan kepada Inspektor Yip Chang Ching pada tarikh 25 November 2021,” katanya.
Perbicaraan bersambung pada 29 Jun. – MalaysiaGazette