Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin ketika merasmikan Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing

KUANTAN – Pahang merekodkan sebanyak 215 kes demam denggi sejak awal tahun hingga 11 Jun lalu tetapi menunjukkan trend penurunan 13 peratus.

Namun tiada kes kematian direkodkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes denggi menunjukkan penurunan sebanyak 32 kes daripada 247 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus

Daripada jumlah itu katanya, daerah Kuantan merekodkan kes tertinggi dengan 71 kes, diikuti Temerloh (55 kes) dan Bentong (40 kes).

“Setakat ini JKNP mengeluarkan 462 kompaun dengan nilai keseluruhan RM231,000 terhadap pihak yang gagal menguruskan persekitaran premis masing-masing hingga  menyebabkan pembiakan nyamuk aedes.

“Bukan isu kompaun menjadi ukuran, tetapu semua berperanan memerangi denggi dan ia merupakan tugas bersama khususnya dalam kalangan komuniti, bukan meletakkan tanggungjawab itu di bahu agensi terlibat semata-mata,” katanya pada sidang media sejurus Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing di Kuantan pada hari ini.

Tambah Nor Azimi, kes demam denggi merupakan fenomena endemik yang sentiasa berlaku dan agak mustahil untuk mencapai sifar kes.

Walau bagaimanapun, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memerangi denggi daripada menjadi wabak yang tidak terkawal dan seterusnya membawa kepada kematian jika tidak ditangani oleh semua pihak.

Hadir sama Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Mengulas lanjut berkenaan Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes, beliau berkata, daerah Kuantan dipilih sebagai tuan rumah atas pencapaian kes demam denggi yang menunjukkan trend penurunan ketika kes meningkat di daerah lain.

Manakala lokaliti Taman Impianku, Kuantan dipilih sebagai lokasi program kerana penempatan tersebut berpendudukan padat.

“Kebersihan persekitaran di daerah Kuantan mungkin menjadi faktor yang menyumbang kepada trend penurunan kes disebabkan kurangnya tempat pembiakan nyamuk Aedes hasil kerjasama utuh inter-agensi dan komuniti di daerah ini,” katanya.

Justeru, pihaknya  menyeru agar pencapaian itu dapat dikekalkan dan menjadi contoh ikutan bagi daerah-daerah lain. – MalaysiaGazette