Koop Sahabat mengumumkan penagihan dividen 10 peratus kepada anggotanya.

BAYAN LEPAS – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) hari ini mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus bersamaan RM5.8 juta kepada 243,163 anggotanya.

Peratusan itu menunjukkan peningkatan berbanding RM3.9 juta bagi tahun kewangan 2020, sekali gus menjadikan ia kadar dividen tertinggi dicatatkan Koop Sahabat sejak penubuhanya pada Ogos 2012.

Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor berkata, pembayaran dividen itu adalah hasil dari keuntungan bersih semasa yang dicatat Koop Sahabat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 tidak termasuk pemotongan zakat sebanyak 2.5 peratus.

Mohd Najib.

Kata beliau, walaupun terkesan dengan ketidak tentuan ekonomi serta persekitaran mencabar ekoran pandemik Covid-19, Koop Sahabat masih berupaya mengekalkan prestasi kadar dividen yang konsisten.

“Koop Sahabat mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan

signifikan perolehan pada tahun 2021 berjumlah RM63.2 juta berbanding RM28.5 juta pada tahun sebelumya.

“Ia merupakan hasil daripada peningkatan perniagaan melalui aktiviti peruncitan dalam pembekalan stok ayam dan daging beku sebanyak RM13.46 juta manakala melalui aktiviti Perkhidmatan Kewangan berjumlah RM12.7 juta pula hasil pembukaan enam cawangan baharu Sahabat Ar Rahnu di Setiu, Bertam, Pendang, Wangsa Melawati, Batu Pahat dan Kluang.

“Manakala aktiviti hartanah menyumbang sebanyak RM26.9 juta,” katanya pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) kali ke sembilan dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 yang diadakan di Hotel Eastin di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Shabudin Yahaya merasmikan MAPT tersebut.

Shabudin berucap ketika merasmikan majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan, Jaafar Ahmad.

Tambah Mohd Najib, perkara  ini telah memberi kesan secara langsung kepada catatan keuntungan Koop Sahabat yang meningkat pada kadar 143 peratus berjumlah RM9.17 juta berbanding RM3.77 juta pada tahun 2020.

Jelas beliau, usaha ini merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 disamping dapat member keyakinan yang kukuh kepada bakal anggota daripada kalangan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Koop Sahabat juga telah berjaya mencapai dua daripada empat sasaran yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik 2020-2024 iaitu meraih kedudukan dalam sepuluh koperasi terbaik Malaysia serta mengagihkan dividen pada kadar 10 peratus kepada anggota.

“Bersempena ulang tahun Koop Sahabat yang ke sepuluh pada bulan Ogos ini, anggota lembaga koperasi dan pengurusan berpendirian untuk tidak hanya menumpukan pada pencapaian agihan dividen sahaja tetapi melihat dari konteks lebih luas termasuk tadbir urus yang baik serta mengamalkan integriti yang tinggi bag pencapaian yang cemerlang dan kompetetif sera melahirkan warga kerja yang berkualiti tinggi dan produktif.

“Koop Sahabat turut optimis untuk mengekalkan prestasinya sebagai koperasi terbaik Malaysia setelah tiga tahun berturut – turut diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada kelompok 10 koperasi terbaik di Malaysia,” ujar beliau.

Untuk rekod, Koop Sahabat merupakan sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993.

Sehingga kini, Koop Sahabat mempunyai 243,163 anggota seluruh Malaysia dengan modal syer sehingga 31 Disember 2021 berjumlah lebih RM58.5 juta. – MalaysiaGazette