Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai dan memastikan
keselamatan pengguna jalan raya.

Rang undang-undang untuk meminda Akta 333 ini akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang pada tahun ini, selepas kali terakhir kita meminda Akta 333 pada 2020.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pindaan sebelum ini menjurus kepada usaha mengekang penggunaan jalan raya yang tidak selamat dengan memandu secara berbahaya, melulu, tidak cermat dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sama ada menyebabkan kematian, kecederaan dan sebagainya.

Manakala pindaan terbaharu ini bertujuan untuk membawa lebih banyak manfaat kepada pemandu (pemilik kenderaan) di samping meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya iaitu:
(1) Berkaitan proses pertukaran pemilikan kenderaan motor secara interim (sementara), daripada pemilik asal kenderaan kepada syarikat jual/beli kenderaan terpakai (UCD).

Ini adalah untuk melindungi kepentingan pemilik apabila mereka menjual kenderaan mereka kepada UCD, dengan memastikan pemindahan pemilikan dilakukan dengan sempurna.

Ia juga bagi membolehkan UCD memiliki pemilikan kenderaan buat sementara waktu sambil mencari pembeli baharu dan memastikan hak pengguna dilindungi.

Pada masa ini, pertukaran hak milik kenderaan adalah bersifat kekal seperti mana ditetapkan di bawah seksyen 13 Akta 333.

Walau bagaimanapun, secara pentadbiran, sejak 2011, proses pelaksanaan pertukaran hak milik kenderaan motor yang dijual kepada UCD oleh pemilik asalnya telah dilaksanakan secara interim, iaitu tidak bersifat kekal.

Ianya hanya akan dipindahkan secara kekal ke UCD selepas masa tertentu jika kenderaan itu tidak dijual kepada pembeli baharu oleh UCD.

(2) Peruntukan baharu bagi membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan peralatan/sistem High Speed – Weigh In Motion (HS-WIM).

HSWIM merupakan gabungan peralatan berasaskan sensor, kamera dan sistem/algoritma komputer yang mencerap kehadiran/identiti/berat kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya, juga membolehkan proses merekod berat kenderaan yang lebih cekap dan tepat serta aktiviti penguatkuasaan dilakukan secara automatik tanpa kehadiran
pegawai JPJ di lokasi.

Ini akan memastikan pematuhan yang lebih tinggi terhadap peraturan yang berkaitan oleh semua pemilik terutamanya kenderaan barangan dan akhirnya akan menjadikan jalan raya lebih selamat.

Ka Siong berkata, MOT sentiasa mencari pendekatan terbaik untuk memastikan keselamatan awam di jalan raya dan salah satu pendekatan terbaik adalah melalui gabungan teknologi ke dalam penguatkuasaan, yang juga berupaya mencegah gejala rasuah dan memastikan pemantauan berterusan untuk pematuhan.

Pindaan berikut juga akan dibuat kepada seksyen sedia ada dalam akta:-
(1) Meminda had umur pemegang Lesen Vokasional untuk penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk kenderaan p-hailing kepada tidak kurang daripada 18 tahun, daripada 21 tahun pada ketika ini.

Ini bagi membolehkan lebih ramai mempunyai pilihan untuk memperoleh pendapatan tambahan melalui perniagaan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.

(2) Mewajibkan pemandu bas persiaran/bas pelancongan untuk mempunyai Lesen Vokasional yang sah, bertujuan menyeragamkan keperluan semasa pada masa ini kepada pemandu bas ekpres, bas sekolah dan bas henti-henti.

Ini akan memastikan semua pemandu dilindungi dengan pengetahuan dan kecekapan semasa untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat serta bertanggungjawab kepada penumpang mereka.

Jelasnya, MOT sentiasa berusaha untuk menambah baik dasar awam untuk menjadikan jalan raya lebih selamat untuk manfaat pengguna termasuk pejalan kaki dan pemandu dan akan terus mendengar maklum balas daripada orang ramai dan semua pihak
berkepentingan untuk menambah baik dasar ini di masa hadapan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast