Para pemenang SAMPENG 2022.

BATU PAHAT – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat menganjurkan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) bagi memperkukuh penghayatan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat setempat, terutamanya pelajar sekolah.

Penganjuran ini juga sebagai tanda sokongan dan menyambut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan.

Pertandingan ini hanya terbuka kepada pelajar-pelajar Parlimen Parit Sulong dengan dua kategori iaitu kategori sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

Bertemakan “Keluarga Malaysia Masyarakat Prihatin”, sebanyak 32 buah sekolah kebangsaan dan lima buah sekolah menengah kebangsaan di sekitar Parlimen Parit Sulong telah menghantar penyertaan pertandingan ini.

Sebanyak 16 cerpen karya terbaik oleh peserta sayembara ini dihimpunkan kedalam sebuah buku yang bertajuk “Ceritera Kulawangsa Parit Sulong”.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, SAMPENG 2022 merupakan sebuah program yang julung kali diadakan dengan tujuan utama untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai lembayung ilmu kepada penulisan kreatif dan puitis.

Menurutnya, sayembara ini berupaya menggilap penulis cilik untuk menghasilkan karya kreatif seterusnya menggalakkan peserta untuk menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis mereka ke dalam bentuk penulisan yang berimpak positif.

”Kita pastinya berbangga apabila bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa yang puitis, merdu dan juga unik. Tambahan pula, bahasa Melayu juga telah terbukti sekian lama dalam menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.

”Walaupun rata-rata peserta lahir dalam era milineal yang dipenuhi oleh gelombang modenisasi, kemegahan menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan sesuatu idea masih dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, sayembara ini amat bertepatan dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai sebuah universiti watan yang meletakkan jati diri kebangsaan sebagai asas dalam menjulang semangat patriotisme di kalangan masyarakat.

”UKM, melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah dipilih sebagai Sekretariat Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pengajian Tinggi Negara-negara ASEAN oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

”Antara peranan jawatankuasa ini adalah untuk merancang pemetaan program kerjasama melalui pelbagai aktiviti pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN,” katanya.

Beliau juga turut menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan dan usaha pelajar yang mempamerkan kebolehan masing-masing dalam penulisan karya kreatif.

Tambahnya, penulisan kreatif sememangnya adalah satu kebolehan yang tidak dimiliki oleh semua orang.

”Kebolehan untuk mencetuskan sebuah ilham, seterusnya mematangkan dan menzahirkannya dalam sebuah bentuk penulisan adalah satu proses yang memerlukan masa yang panjang dan adakalanya penulis perlu berfikir di luar kotak,” jelasnya. – MalaysiaGazette