KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diminta menerima realiti bahawa penjawat awam sudah menolak mereka.
Menurut pegawai khas Perdana Menteri, Dr Kamarul Zaman Yusof, langkah itu sudah terbukti dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Kepada pemimpin PH seperti Hannah Yeoh dan Khalid Samad khususnya, saya minta mereka fokus untuk menjawab 11 soalan.
“Ada atau tidak ada Ahli Parlimen DAP yang menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan kerajaan?
“Ada atau tidak ada Ahli Parlimen DAP yang mendesak Kerajaan PH supaya mengurangkan bilangan penjawat awam di dalam negara?
“Ada atau tidak ada Ahli Parlimen DAP yang mencadangkan di Dewan Rakyat supaya Kerajaan PH melakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen pegawai/kakitangan awam yang dikatakan membazirkan?, soal Kamarul Zaman.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kritikan beberapa Ahli Parlimen PH yang tidak puas hati dengan penulisan berjudul ‘Tertekan di zaman PH, penjawat awam kini terbela’ pada Jumaat lalu.
Menurut Kamarul Zaman, Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh, dalam Twitternya jelas menolak tulisannya dengan menyebut “Apabila baca berita/artikel, kena tengok dulu siapa penulisnya”.
Malah Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad, pula menyifatkan tulisan Kamarul Zaman sebagai “mengarut” sambil menyebut “profesionalisme PH diakui ramai”.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut melemparkan persoalan samada Exco DAP yang menegaskan mengenai betapa Kerajaan PH tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam.
Beliau turut dilemparkan persoalan kepada Timbalan Menteri DAP yang menegaskan mengenai keperluan untuk melakukan proses pembersihan kepada penjawat awam.
“Ada atau tidak ada pemimpin PH, baik dari DAP, AMANAH atau PKR, yang menuduh penjawat awam mensabotaj Kerajaan PH?
“Betul atau tidak Kerajaan PH memindah dan menyejukbekukan (cold storage) penjawat-penjawat awam utama kerajaan?
“Betul atau tidak Kerajaan PH memberhentikan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang melibatkan pertemuan antara Perdana Menteri dan penjawat awam?,” soal Kamarul Zaman lagi.
Dalam tulisan sama, Kamarul Zaman turut bertanya samada kerajaan PH ada melaksanakan kenaikan gaji bersamaan 1 KGT secara khas kepada semua penjawat awam, pemendekan kenaikan pangkat Time Based kali kedua dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun serta penambahan Gred DG 56 bagi guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?
“Betul atau tidak sesaatunya pemberian geran tahunan oleh Kerajaan PH kepada CUEPACS ialah pada tahun 2019 dengan nilai sebanyak RM1 juta sahaja?
“Betul atau tidak Kerajaan PH menyenyapkan surat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 15 Februari 2018 ke atas permohonan pemberimilikan lot tanah kerajaan di Presint 18 untuk CUEPACS?,” soal Kamarul Zaman. – MalaysiaGazette