MARAN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah meluluskan pelaksanaan projek menaik taraf dan meninggikan aras jalan di kawasan banjir di Jalan Bak-Bak – Serengkam, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, projek itu kini memasuki fasa akhir proses penyediaan reka bentuk sebelum kerja-kerja pembinaan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, projek membabitkan proses menaik taraf dan meninggikan aras jalan sepanjang 7.5km itu akan diteliti berdasarkan piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, tambah beliau, bagi mengatasi isu jalan kerap tenggelam dan terputus hubungan apabila banjir, sistem pembentung serta saliran sedia ada di sepanjang jalan raya tersebut juga bakal dibina dan dinaik taraf.
Peka dengan aduan penduduk setempat dan pengguna jalan tersebut, beliau turut memaklumkan, JKR akan melaksanakan pemasangan lampu dan perabot jalan di sepanjang jajaran Jalan Bak-Bak – Serengkam.
Ia meliputi penambahbaikan tanda arah, papan tanda lalu lintas, penanda jalan dan penghadang keselamatan. – MalaysiaGazette