KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Johor mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana masih tidak menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lima ahli politik yang didakwa menerima sumbangan politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sepatutnya badan berkuasa itu dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan sewajarnya selepas saksi pendakwaan mendedahkan nama mereka.
“Selepas pendedahan di mahkamah itu, sepatutnya kerajaan, SPRM dan Pejabat Peguam Negara kena percepatkan buka kertas siasatan dan mendakwa kesemuanya di mahkamah kerana salah laku rasuah.
“Atau sekurang-kurangnya pihak pendakwaan perlu memanggil mereka memberi keterangan supaya kebenaran dapat didedahkan secara keseluruhan,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya, hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu Muhyiddin yang juga bekas Menteri Dalam Negeri turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.
Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.
Nur Jazlan juga mempersoalkan enam ahli politik itu hanya dikategorikan menerima sumbangan politik sedangkan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh dikenakan pertuduhan rasuah.
“Jika Zahid terima wang daripada UKSB dianggap sebagai rasuah, mengapa pula bila geng ‘6 bersaudara’ itu boleh pula dianggap terima duit sebagai dana politik?
“Kalau Zahid dituduh dan didakwa menerima rasuah daripada UKSB dan terus menerus dicerca, dihina serta dilabel sebagai pendosa atau kluster mahkamah. Adakah Muhyiddin dan lima yang lainnya tergolong dalam golongan maksum?
“Bagi saya, 17 Jun 2022, segala topeng munafik dan watak jahat Presiden Bersatu dan bekas Perdana Menteri paling suci mula terlondeh.
“Muhyiddin anak kepada seorang guru agama tidak lagi dapat berlakon sebagai seorang pemimpin warak apabila nama dia dipetik dalam mahkamah kelmarin,” katanya.
Katanya, jika enam ahli politik terbabit yang menerima imbuhan daripada UKSB atas nama dana politik, sepatutnya Ahmad Zahid dan kesemuanya dilepaskan daripada pertuduhan rasuah.
“Bukankah secara logik bodoh pun, kesemua perbuatan mereka itu adalah sama. Terima imbuhan dari UKSB. Kalau nak kata itu perbuatan rasuah maka biarlah semuanya dilabel terbabit rasuah dan sama-sama kena dakwa.
“Tapi kalau nak cakap tindakan ambil imbuhan itu atas nama dana politik, maka sepatutnya semua dilepaskan dari tuduhan.
“Tapi mengapa Zahid seorang saja yang terpaksa terima pendakwaan terpilih Adakah kerana Zahid adalah seteru dan 6 bersaudara itu pula adalah sekutu, maka Zahid diganyang, diperangkap dan dianiaya secukupnya,” katanya.
Katanya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan membiarkan kes siasatan ke atas Muhyiddin berakhir menjadi tiada siasatan lanjut (NFA) atau ghaib seperti mana berlaku ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sudah mestinya Perdana Menteri mahu menjaga nama baik beliau dan UMNO dan tidak mahu menjadi alat kepada puak-puak lain dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Ini kerana Perdana Menteri sudah banyak terpaksa menanggung onar yang dibuat oleh rakan-rakan politik dalam kerajaan campuran itu yang suka mengamalkan budaya ugut demi memanjangkan riwayat kerajaan atas kayangan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette