KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan secara mendalam berkaitan isu pemberian kad orang pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) kepada mana-mana individu yang tidak berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti kukuh berkaitan pemberian kad UNHCR secara sewenang-wenangnya itu.
Selepas itu tindakan susulan diambil terhadap pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan terbabit.
“Setakat ini, saya masih lagi sedang mencari banyak bukti-bukti untuk memastikan apa yang saya katakan ini bukan masalah membabitkan satu atau dua orang.
“Satu atau dua orang mungkin boleh kata mereka silap tetapi kalau ada banyak bukti, silap apa lagi kalau ada banyak..ada sesuatu yang mereka (UNHCR) cuba sorokkan daripada kita (KDN),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.
Sebelum ini, KDN pernah mempersoalkan tindakan UNHCR memberikan kad itu kepada beberapa individu lain iaitu warga Indonesia yang dikesan memiliki dokumen tersebut sekaligus mencetuskan keraguan.
KDN menerusi beberapa operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen berjaya mengesan beberapa individu warga asing dari negara tidak bergolak memiliki kad pelarian yang dikeluarkan oleh UNHCR.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Larut itu dengan tegas mengingatkan sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan sebagai sebuah negara berdaulat.
“Kita sebagai sebuah negara merdeka patut yakin dengan undang-undang kita, jadi bila sampai masanya nanti saya akan buat keputusan untuk ambil tindakan sewajarnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette