Annuar musa
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Malaysia akan melancarkan satelit MEASAT-3d yang akan meningkatkan perkhidmatan perhubungan antara negara-negara serantau, pagi esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelancaran satelit kelapan itu itu akan dilakukan di French Guiana, Amerika Selatan pukul 5.03 minit waktu Malaysia.

Satelit MEASAT-3d yang merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO itu mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data, dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS)

“HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman.

“Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 Mbps pada masa ini kepada 100 Mbps, yang membolehkan penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata, dengan pelancaran satelit itu, beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos ini.

Jelasnya, pelancaran satelit baharu itu membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Selain itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit ini untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada 3.0 hingga 5.0 peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar, seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Katanya lagi, selaras dengan inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), MEASAT-3d dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Jelas beliau, ia juga dapat mengembangkan liputan internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan, supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.

“Dengan akses Internet yang stabil dan pantas, Keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital,” ujarnya. – MalaysiaGazette