Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika hadir ke program Ruang Bersama Belia ketika di Sime Darby Convention Centre (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto, MOHD ADZLAN 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR –  Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar fokus kepada kes mahkamah daripada mengambil tahu mengenai dakwaan rasuah dirinya.

Beliau secara sinikal berkata, Najib bukan seorang hakim yang boleh memberikan komen ke atas tuduhan rasuah individu lain.

“Dia (Najib) bukan hakim. Elok dia manage (uruskan) dia punya masalah (kes mahkamah). Saya sudah selesai buat satu kenyataan dan saya tak mahu tokok lagi,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Najib yang mempertikaikan tarikh rawatan Muhyiddin selepas dakwaan beliau menerima sejumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd. (UKSB) pada 2018.

Pada Sabtu lalu, Najib mempersoalkan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau tidak menerima rasuah sebagaimana yang didakwa di mahkamah baru-baru ini.

Ia ekoran penafian Muhyiddin yang beliau tidak pernah menerima wang daripada UKSB dan mengatakan adalah mustahil menerima rasuah ketika beliau sedang menjalani rawatan akibat kanser.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengesahkan dirinya masih belum dipanggil untuk memberikan sebarang keterangan daripada pihak berkuasa.

Malah jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, dirinya bersedia untuk dipanggil memberikan keterangan berhubung dakwaan tersebut.

“Biar polis siasat. Kalau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) nak panggil saya pun boleh panggil, saya tak takut kerana saya cakap yang benar.

“Saya sudah buat kenyataan, takkan saya nak paksa, datanglah! Setakat ini tak ada. Saya cakap benar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rasuah RM1.3 juta: Najib pelik tiada pemimpin Bersatu pertahan Muhyiddin