Safian (tiga dari kiri) menerima sumbangan wakaf al-Quran dan sejadah dari wakil MIU.

SUNGKAI – Terletak kira-kira tiga jam perjalanan melalui lebuhraya Utara-Selatan, Felda Sungai Klah merupakan destinasi yang hanya mungkin dianggap biasa perkampungan warga Felda.

Namun, sebaik sahaja kita memasuki Plaza Tol Sungai berjarak hanya 400 meter, pelawat biasanya pasti singgah di Restoran Nasi Bamboo Sungai Klah, Sungkai untuk menikmati juadah tradisional yang pasti istimewa.

Uniknya makanan di sini kerana nasi dimasak di dalam buluh dengan segala aneka lauk pauk tradisional kampung.

Murid SK Felda Sungai Klah menunggu giliran untuk menerima sumbangan alat tulis dan kamus.

Namun, yang menariknya kawasan Felda Sungai Klah sendiri mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik untuk sesiapa sahaja yang mengemari kehijauan alam sekitar yang damai dan tenang.

Maka, tidak hairanlah sekumpulan pensyarah dan pelajar Sekolah Pengajian Perniagaan dan Pengurusan (SOMB) Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan memilih kawasan ini untuk menjalankan projek khidmat bakti masyarakat atau University Social Responsibility (USR) selama tiga hari bermula dari 16 hingga 18 Jun 2022.

Projek khidmat bakti tersebut diketuai Dr. Suhaimi Mohd Sauh dibantu sekumpulan pensyarah perakaunan serta pelajar jurusan perakaunan mengadakan sesi libat sama dengan masyarakat setempat seperti masjid Felda Sungai Klah, Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Klah dan masyarakat Orang Asli Sungai Klah.

Sharul (baju Melayu) bersama pengurusan Felda Sungai Klah dan MIU di majlis penyampaian sumbangan.

Inisiatif tersebut menjadi kenyataan hasil sokongan padu pengurusan Felda Sungai Klah diketuai Pengurus Felda Sungai Klah, Mohd Redzuan Zakaria; Ketua Peneroka Felda Sungai Klah, Ruslan Abdul Aziz; Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita Felda Sungai Klah, Zaitun Mohd Yusof; serta Yok Ba Salibah selaku Tok Batin Kampung Orang Asli Felda Sungai Klah.

Acara pertama yang dijalankan ialah penyampaian sumbangan wakaf al-Quran dan sejadah kepada Masjid Felda Sungai Klah dan Sekolah Agama Rakyat Felda Sungai Klah.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Safian Alias selaku Pengerusi Masjid Felda Sungai Klah yang turut dihadiri pengurusan dan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Menurut Safian, sumbangan tersebut amat bermakna kepada masjid dan sekolah agama rakyat berkenaan, di samping menunjukkan keprihatinan warga universiti untuk sentiasa berbakti kepada masyarakat.

Khautami (kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk Orang Asli Sungai Klah.

“Pihak masjid akan memanfaatkan pemberian sumbangan al-Quran dan sejadah ini dan memanjangkannya kepada sekolah agama rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas di majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Acara ditunggu-tunggu warga Felda ialah penyampaian sumbangan kepada murid SK Felda Sungai Klah. Seramai 35 murid tahun 1 hingga 6 termasuk murid kelainan upaya menerima sumbangan alat tulis dan kamus.

Guru Besar SK Sungai Klah, Sharul Ibrahim menyambut baik sumbangan MIU selepas lebih dua tahun sekolah tidak dapat menganjurkan aktiviti fizikal secara bersemuka akibat pandemik Covid-19.

“Saya berharap sumbangan ini menyuntik minat murid-murid untuk belajar dengan lebih tekun dan mencapai prestasi akademik yang lebih baik,” katanya.

Acara ketiga yang tidak kurang impaknya kepada penduduk setempat ialah penyampaian sumbangan kepada warga Orang Asli di penempatan Felda Sungai Klah.

Terpancar wajah keriangan warga Orang Asli tersebut tatkala menerima sumbangan dari kumpulan pensyarah dan pelajar diketuai Zarith Nurzafirah Khairuddin, Mahani, Philominah Arkappan, Maheran Mohamed, Lailatul Zuraidah Mohamad Kapili, Siti Nur Akmar, Kauthami Sundresan, Nurul Syafina Khairudin dan Nur Syahira Md. Subre.

Seorang penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Mat Deris berkata, dia dan keluarganya tidak menduga ada pihak luar sudi datang menjenguk dan menghulurkan bantuan kepada mereka.

Terdahulu, seawal jam 7 pagi, pensyarah MIU diajak warga Felda berjalan kaki 10,000 langkah beriadah sambil melihat panorama indah perkampungan Felda Sungai Klah.

Dua wakil pelajar MIU menyerahkan sumbangan kepada penduduk Orang Asli Sungai Klah.

Antara yang ditunjukkan ialah projek ternakan madu kelulut melibatkan 70 keluarga di kawasan berkenaan, hasil tanaman buah-buahan dan ternakan seperti kambing kampung.

Penduduk setempat juga bergotong royong memasak makanan untuk menjamu tetamu termasuk menyediakan juadah pulut kuning, sambal tumis, rendang ayam dan gulai cendawan.

Dr. Suhaimi selaku Ketua Projek Program Khidmat Bakti tersebut berkata, aktiviti berkenaan akan diteruskan pada masa depan sebagai sebahagian daripada komitmen pensyarah dan pelajar MIU untuk terus berbakti kepada masyarakat yang sentiasa memerlukan bantuan. – MalaysiaGazette

Oleh Mohd. Shah Abdullah, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan