Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seramai lima individu yang bergiat aktif mencuri kenderaan lama di tepi-tepi jalan akhirnya dicekup polis.

Kelima-lima suspek termasuk seorang wanita diberkas selepas mencuri dua buah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Bandar Baru Ampang di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan seorang peniaga berusia 42 tahun di Ampang pada Ahad lepas.

“Berdasarkan hasil soal siasat ke atas suspek lelaki itu dan berpandukan maklumat lanjut, kita telah melakukan serbuan di sebuah premis jual besi buruk di ibu negara.

“Hasil serbuan kita berjaya merampas dua buah kereta jenis Mitsubishi Galant dan Mitsubishi Tredia yang disyaki dicuri, sebuah lori dan beberapa barang berkaitan kejadian curi kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk menambah , susulan daripada siasatan itu, pihaknya melakukan serbuan dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun secara berasingan di Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang pada hari sama.

Katanya, dalam modus operandi geng curi kenderaan ini, mereka mencari kereta-kereta lama di tepi jalan dan kemudian ditarik dan dijual untuk dijadikan besi buruk.

Hasil semakan mendapati dua daripada lima suspek itu mempunyai lapan dan dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kesemua suspek itu kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast