Temu bual eksklusif SkopMG bersama Peguam dan Penulis, Liyana Marzuki di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 22 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Isu kenaikan harga barang bukan perkara baharu malah sudah lebih 20 tahun Malaysia berdepan dengan masalah ini.

Kerajaan sewajarnya mencari pendekatan baharu dan tidak terus menerus menyalahkan rakyat apabila terdapat rungutan.

Menurut seorang peguam dan penulis bebas, Liyana Marzuki, sewajarnya Malaysia yang bertukar beberapa Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun ini tampil dengan dasar-dasar yang boleh menyejukkan hati rakyat.

“Kerajaan menerusi kementerian-kementerian tertentu asyik menyalahkan pengguna iaitu rakyat apabila muncul aduan terhadap isu ini.

“Sebagai kerajaan, adalah wajar menenangkan dan melindungi rakyat dan bukannya menyalahkan, itu sebenarnya yang diperlukan,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk Harga Barang Tak Masuk Akal, Liyana bersama seorang lagi panelis iaitu Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yunus Tasim.

Tegasnya, ketiadaan polisi serta pengurangan subsidi juga memberi gambaran kelemahan kerajaan seolah-olah tidak mempunyai idea baharu bagi untuk menangani perkara ini.

“Lihat bagaimana Qatar sebuah negara padang pasir yang boleh membuat polisi di luar kotak walaupun kadar import barang makanan adalah 65 peratus sama seperti Malaysia.

“Kos import semakin meningkat, jadi Qatar membeli tanah di luar negara bagi tujuan menanam dan menghasilkan produk yang boleh dibawa masuk ke negara sendiri.

“Mereka membeli tanah di New Zealand, China, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain dan hasil dapatannya dapat mengurangkan kos import,” jelasnya.

Tambahnya jika langkah diambil oleh kerajaan, ia sekurang-kurangnya memperlihatkan bagaimana Malaysia tampil dengan dasar yang lebih baik.

“Daripada bayar Sapura berbilion-bilion ringgit, lebih baik duit itu digunakan untuk ini.

“Saya bercakap untuk kepentingan negara bukan diri sendiri.

“Kita tahu harga barang tak akan turun dan terus meningkat selepas ini, tetapi jika ada dasar dan polisi baharu, rakyat akan tenang dan tahu kerajaan sedang berusaha pelbagai cara untuk melindungi.

“Sebaliknya, sejak dulu lagi menyalahkan rakyat yang dianggap tidak tahu kuasa sebagai pengguna,” tambahnya.

Jelas Liyana, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mampu melindungi rakyatnya dan bukan hanya memberikan alasan sama.

“Ketelusan, jaminan oleh kerajaan yang mana mereka sedang lakukan sesuatu untuk melindungi itu sangat diperlukan.

“Itulah suplemen yang sedap didengar. Kemarahan orang ramai sudah nampak dan jika asyik salahkan pengguna.

“Hentikanlah kenyataan-kenyataan seperti jangan makan ayam, tanam kangkung sendiri, tanam jagung sendiri,” ujarnya. -MalaysiaGazette