GEORGE TOWN – Kira-kira 500 petani berdepan masalah bekalan air tidak mencukupi selain sistem saliran tidak sempurna setiap kali tiba musim menuai di Pulau Langkawi, Kedah.
Antara kampung yang terbabit ialah Kampung Baru, Mawar, Bukit Temin, Bayas, Lubuk Setoi, Nyior Chabang dan Padang Mat Sirat.
Rata-rata petani mendakwa masalah tersebut menyebabkan mereka mengalami kerugian sekali gus menjejaskan pendapatan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati hampir separuh daripada 2,000 relung sawah yang diusahakan petani kampung itu terencat pembesarannya dan ditumbuhi rumput.
Jelas beliau, CAP difahamkan petani mengerjakan sawah dua kali setahun dan hanya mengharapkan air hujan bagi mengairi tanaman padi mereka.
“CAP memandang serius masalah itu kerana ia bukan saja menjejaskan kehidupan petani tetapi juga pengeluaran hasil makanan negara.
“Kita bimbang jika masalah ini berterusan ia boleh menggugat sektor pertanian dan ekonomi negara pada masa akan datang.
“Justeru, CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, seorang petani, Amin Saad, 37, berkata, masalah itu menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil lebih 50 peratus dan kerugian besar kerana banyak pokok padi yang mati dan buahnya tidak berisi.
“Selain penanaman padi biasa, kawasan projek padi pulut juga mengalami keadaan sama menyebabkan ada antara petani yang menyertai projek itu menghentikan penanaman padi berkenaan.
“Kehidupan kami sekarang sangat terbeban kerana terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi mengatasi masalah itu terutama kepada penyewa tanah sawah berikutan bayarannya mahal berbanding hasil padi yang kami peroleh,” katanya.
Turut meluahkan rasa sama, Ahmad Nayan, 54, yang kesal walaupun masalah itu sudah lama berlaku namun hingga sekarang tiada tindakan diambil bagi mengatasinya.
“Kami mencadangkan supaya pihak berkenaan menaik taraf dan membersihkan saliran sepanjang lebih kurang satu kilometer dari Lubuk Sembilang hingga ke Bukit Hantu serta membina empangan bagi menyimpan air dari Gunung Raya bagi kegunaan petani,” katanya. – MalaysiaGazette