KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengembalikan pelaksanaan harga siling ayam sekiranya mendapati para peniaga mengaut keuntungan secara berlebihan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, permintaan ayam dijangka meningkat menjelang Hari Raya Aidiladha dan dalam masa sama subsidi tidak lagi diteruskan.
“Cuma oleh untuk perayaan Raya Haji. Kalau sampai di luar kawalan maka kita ambil tindakan kerajaan tidak teragak-agak untuk adakan kembali harga siling kalau harga di luar kawalan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda, di bawah Inisiatif Bajet 2022, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Rosol memberitahu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan pemantauan secara konsisten terhadap harga jualan ayam di pasaran bermula 1 Julai nanti.
“Kita akan pantau bagaimana mereka mengenakan harga bagaimana sebab sewaktu advokasi mereka jamin tidak dinaikkan melampau,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan tidak menaikkan harga secara melampau atau menyembunyikan bekalan makanan khususnya yang tidak lagi disubsidikan oleh kerajaan termasuk ayam, telur dan minyak masak berbotol.
“Oleh kerana harga akan diapungkan maka kita nasihat jadilah peniaga yang bertanggungjawab menyorok ini satu yang dilarang oleh semua agama . Kita yakin ayam tidak disorok sebab nanti busuk.
“Tapi pun begitu kita tidak ambil mudah kita akan sentiasa periksa. Maknanya sekarang lebih mudah kalau ada laporan, untuk kita ambil tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette