Lee Tin Han

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 125 penternak, pemborong dan peruncit telur serta ayam segar di Johor dikenakan kompaun kerana mencatut harga dua bahan mentah berkenaan, sehingga minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, tindakan itu diambil susulan 4,657 pemeriksaan membabitkan peruncit, pemborong dan pengeluar dua bahan mentah tersebut untuk tempoh antara 5 Februari hingga 13 Jun lalu.

“Sebanyak 125 tindakan kompaun menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 diambil bagi menangani tindakan tidak bertanggungjawab menaikkan harga telur dan ayam segar sesuka hati.

“Ia membabitkan sebanyak 10 kompaun kepada peladang, 15 pemborong dan 100 lagi tindakan ke atas peruncit dengan jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM102,600 bagi kesalahan di bawah Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur Ayam,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli bertanya mengenai tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu kenaikan harga barang di negeri itu pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15,  di sini,  hari ini.

Sementara itu ,Ting Han yang juga ADUN Paloh berkata, kerajaan negeri Johor menjalinkan kerjasama pintar bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menangani kenaikan harga barang.

“Inisiatif yang telah dan sedang dilaksana oleh KPDNHEP Johor adalah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk semua perayaan bagi melindungi pengguna dan membanteras peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga tanpa had bagi mendapat keuntungan yang tinggi.

“Hasil penguatkuasaan SHMMP Tahun Baru Cina yang dilaksanakan pada 29 Januari sehingga 4 Februari lalu, KPDNHEP Johor telah melakukan 574 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit dan sebanyak 28 kes telah didakwa dengan jumlah kompaun sebanyak RM 3,800 telah dikenakan.

“Manakala hasil penguatkuasaan SHMMP pada Hari Raya Puasa 2022 yang telah dilaksanakan pada 26 April sehingga 10 Mei lalu, KPDNHEP Johor telah melakukan sebanyak 586 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit.

“Sebanyak 14 kes telah didakwa  dengan jumlah kompaun dikenakan berjumlah RM2,000,” katanya. – MalaysiaGazette