Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) meluangkan masa melihat replika satelit yang dipamerkan ketika hadir bagi menyaksikan Pelancaran MEASAT-3d secara siaran lintas langsung dari Space Center, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan sejarah sekali lagi apabila berjaya melancarkan satelit Measat-3d pukul 5.50 pagi waktu Malaysia, hari ini.

Pelancaran Measat-3d itu dilakukan di Kourou, French
Guiana, Amerika Selatan menggunakan roket Ariene 5.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyaksikan majlis pelancaran yang dipancarkan secara langsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Measat-3D merupakan satelit kelapan Malaysia sejak kali pertama dilancarkan pada 1996 yang merangkumi satelit komunikasi menawarkan perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi, satelit penderiaan jauh serta aplikasi satelit-satelit lain melibatkan sektor penyelidikan dan pembangunan industri teknologi angkasa.

Satelit Measat-3d dengan kos RM1.2 bilion adalah yang paling komprehensif dan kompleks di dalam kumpulannya berbanding Measat-3a dan Measat-3b.

Dengan pelancaran Measat-3d yang mempunyai anggaran jangka hayat selama 18 tahun, ia akan menjadi pelengkap kepada satelit Measat-3a dan Measat-3b yang terletak bersama di hot slot orbit 91.5 darjah timur.

Satelit Measat-3d ini akan meningkatkan keupayaan capaian internet yang mampu dimiliki di kawasan bandar atau sub-luar bandar atau di kawasan sukar dimasuki dengan tumpuannya adalah di Sabah dan Sarawak.

Melalui pelancaran satelit baharu itu juga, Malaysia akan dapat memperkukuhkan lagi kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette