Peluru dan pistol yang ditemui dalam kenderaan penjenayah yang ditembak mati di Kondominium di ibu negara. Foto ihsan D9 IPKKL

KUALA LUMPUR- Polis  menemui sepucuk pistol bersama 13 butir peluru di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang digunakan penjenayah yang ditembak mati di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan, di sini, pada 18 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan susulan kenderaan tersebut pada jam 1.30 tengah hari pada Selasa lalu.

Ujarnya, kenderaan itu disyaki digunakan suspek sebelum berlakunya kejadian tembak menembak antara suspek dan polis.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis telah menemui satu beg kitar semula di bawah tempat duduk pemandu MPV berkenaan yang mengandungi satu pistol jenis Smith & Wesson.

“Selain itu, kami menemui enam peluru hidup di dalam silinder peluru (chamber) dan satu sampul surat yang mengandungi tujuh peluru hidup.

“Berdasarkan maklumat risikan, kami percaya senjata api terbabit adalah milik suspek yang ditembak mati (penjenayah berkenaan),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenderaan Estima milik penjenayah yang ditembak mati di sebuah kondominium di ibu negara Isnin lalu. Ihsan D9 IPKKL

Tambahnya, pihak polis masih meneruskan siasatan dan risikan untuk mengesan saki baki ahli kumpulan serta senjata api.

“Kami menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat pemilikan senjata api serta sebarang maklumat yang boleh membantu dalam siasatan kes itu.

“Maklumat itu boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Hasni Hussin di talian 019-9984444 Bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 03-21460685 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tegasnya.

Isnin lalu Azmi dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur mendedahkan kejayaan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menembak mati seorang penjenayah yang disyaki mendalangi kejadian samun membabitkan kerugian RM693,000 di sebuah rumah di Cheras, pada 18 November tahun lalu.

Kejadian berlaku ketika serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan, kira-kira jam 10 malam menerusi satu operasi khas yang dijalankan oleh D9.

“Semasa serbuan dibuat D9, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum anggota serbuan melepaskan tembakan balas ke arah suspek sebagai melindungi nyawa pegawai dan anggota serbuan.

Susulan operasi itu, pasukan D9 JSJ Kuala Lumpur seterusnya melancarkan Op Tiger dan berjaya menangkap lapan lagi suspek tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 67 tahun di sekitar Lembah Klang.

Soal siasat ke atas kesemua suspek, polis berjaya merampas sepucuk lagi pistol jenis CZ Compact bersama dua kelopak pistol berisi 28 butir peluru di sebuah gudang yang terletak di Klang Utara, Selangor.

Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai telah bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 15 kes samun sejak 2009, selain terbabit kegiatan jenayah lain termasuk bunuh dan pengedaran dadah.- MalaysiaGazette

Penjenayah miliki bom tangan mati ditembak polis