Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim menunjukkan barang rampasan senjata api ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan pihak polis dalam menumpaskan sendiket samun dan senjata api di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang sangat dikehendaki kerana disyaki dalang satu kejadian jenayah samun bersenjata di Cheras pada 11 November tahun lalu ditembak mati dua hari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 40 tahun telah ditembak mati polis dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan di sini pada 18 Jun lalu.

“Semasa serbuan, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan bagi melindungi keselamatan dan nyawa pegawai dan anggota, pasukan terpaksa melepaskan tembakan balas ke arah suspek.

“Setelah keadaan kembali reda, pemeriksaan lanjut di dalam rumah mendapati suspek seorang lelaki warga tempatan terbaring di dalam bilik utama rumah tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Azmi, pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang berada di lokasi mengesahkan suspek telah meninggal dunia.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut pasukan serbuan di tempat kejadian juga menemui senjata api yang digunakan suspek iaitu sepucuk pistil semi automatik jenis CZ 75 Compact berwarna hitam yang mengandungi lima butir peluru hidup di dalam kelopak dan sebutir di dalam silinder peluru.

Manakala sebutir bom tangan turut dijumpai dalam beg tangan silang mangsa.

Bom tangan antara yang dirampas oleh polis ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan pihak polis dalam menumpaskan sendiket samun dan senjata api di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JUN 2022.

“Semakan rekod jenayah si mati mendapati dia memiliki empat jenayah rekod lampau Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 4A (1) POPC dan Tahanan Ordinan Darurat dan Keselamatan Awam dan Mencegah Jenayah manakala tiga rekod jenayah masih dikehendaki iaitu Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan bersabit dadah.

“Selain itu si mati juga pernah ditangkap dan disiasat atas penglibatannya dalam 26 kes jenayah pelbagai sejak 2004 hingga 2022 dan antaranya membabitkan tiga kes bunuh, samun bersenjata api pistol, pemilikan bom tangan, senjata api dan peluru, samun rumah dan jalanan, khianat, ugutan jenayah, memiliki senjata merbahaya (taser gun) dan tiga kes kesalahan dadah.

“Susulan daripada kejadian menumpaskan suspek tersebut dalam serbuan pertama, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh , Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan,” ujarnya.

Sebelum itu, mangsa juga  dikatakan salah seorang daripada tiga suspek bersenjata pisau terlibat dalam kes samun sebuah rumah di Taman Tasik Seri Pemaisuri pada 11 November tahun lalu yang membawa lari wang tunai, barang kemas dan tiga utas jam tangan mewah.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM693,000.

Antara senjata api yang dirampas oleh anggota polis ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan pihak polis dalam menumpaskan sendiket samun dan senjata api di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JUN 2022.

Susulan itu, kata Azmi, polis melancarkan Op Tiger bgi mengesan dan menangkap saki baki rakan-rakan sejenayah mangsa.

Hasilnya, dalam satu lagi serbuan yang dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang hari ini, seramai lapan orang warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 67 tahun berjaya dicekup polis.

Hasil tangkapan itu, pemeriksaan lanjut ke atas mereka polis berjaya merampas sepucuk lagi pistol jenis CZ Compact dan dua kelopak berisi 28 butir peluru disebuah gudang di Klang Utara, Selangor.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua lapan orang suspek berkenaan berasal daripada Selangor dan giat aktif mendalangi sekurang-kurangnya 15 kes samun sejak 2009 lagi selain terbabit kegiatan jenayah lain termasuk bunuh dan pengedaran dadah.

“Hasil semakan rekod jenayah ke atas mereka mendapati kesemua memiliki rekod jenayah lampau manakala salah seorang daripada suspek memiliki 40 jenayah lampau samun, pecah rumah, bunuh dan juga dadah.

“Kita akan membawa kesemua lapan suspek berkenaan ke mahkamah untuk permohonan reman pada hari ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette