Anwar dan Gobind pada Majlis Peluncuran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) melakar sejarah sekaligus menunjukkan kesungguhan kerajaan melaksanakan transformasi digital di negara ini, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia kerana status negara berpendapatan tinggi hanya akan dicapai sekiranya didorong peningkatan ekosistem digital secara meluas.

Malah kata beliau, penglibatan negara-negara besar termasuk Amerika Syarikat, China dan Eropah dalam NAIO turut menunjukkan sikap negara yang bebas jaring hubungan dengan semua negara.

“Penyertaan syarikat besar dalam NAIO ini menunjukkan pendirian Malaysia dengan menekankan hubungan dagang antarabangsa seperti FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) tetapi apa yang istimewa dan unik adalah tunjang masa depan dunia iaitu ekonomi digital.

“Jadi peralihan daripada industri asas seperti getah, biji timah dan sawit sedang melonjak ekonomi digital dan kita jangkakan dalam masa setahun ini, mampu melojak 23 peratus ke 25.5 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bergantung dengan kelajuan dan kepantasan (ekonomi digital),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

NAIO di bawah seliaan MyDigital Corporation akan berperanan membantu kerajaan menggubal polisi bersesuaian dengan pembangunan dan eningkatkan keupayaan AI negara dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor serta menyokong integrasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat.

Selain itu, NAIO turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penubuhan NAIO didorong oleh keperluan untuk menangani isu literasi digital bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kerajaan dan ahli politik.

Namun jelas beliau, dalam membawa perubahan kepada pendidikan untuk berjuta-juta kanak-kanak di mana Pejabat AI akan melihat penyelarasan usaha dalam penyelidikan dan pelaksanaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast