SEBERANG JAYA – Jeritan penumpang yang kedengaran secara tiba-tiba membuatkan seorang lelaki menyangka feri yang dinaikinya bakal karam selepas bertembung dengan sebuah kapal di perairan Pelabuhan Pulau Pinang, malam tadi.
Dia yang ingin dikenali sebagai Suhaimi, 55, berkata, ketika kejadian dia berada di atas motosikalnya sebelum dikejutkan dengan jeritan orang ramai.
“Saya baru hendak terlelap atas motosikal sebelum terdengar orang menjerit.

“Kemudian saya nampak pelanggaran berlaku antara feri dengan kapal di bahagian depan.
“Ketika itu saya takut feri karam, tetapi syukur tiada kejadian buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), malam tadi.
Menurutnya, dia sudah 24 tahun menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang-alik dan tidak menyangka perjalanan rutin itu bertukar cemas akibat kejadian berkenaan.
Sementara itu, Amy Iyana, 23, berkata, dia sedang berdiri ketika kejadian menyebabkan dia terjatuh ke belakang dan mengalami kecederaan pada kaki kiri.
“Saya tengah berdiri dan baru hendak duduk. Tiba-tiba feri berlanggar dan saya terus terjatuh ke belakang menyebabkan kaki kiri saya cedera.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku kerana berada di bahagian belakang feri,” katanya yang dalam perjalanan ke Gurun, Kedah selepas datang melancong ke negeri ini bersama keluarganya.
Seorang lagi mangsa, Azah, 48, berkata, dia bersama anak lelakinya berusia 12 tahun berada di bahagian penumpang motosikal ketika kejadian.
Katanya, anaknya mengalami lebam di bahagian kepala akibat pelanggaran berkenaan.
“Kami ke pulau untuk mandi pantai dan ketika kejadian kami dalam perjalanan pulang ke rumah di Butterworth.
“Syukur, tiada sesiapa yang parah dalam kejadian itu masing-masing hanya cedera ringan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco) Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, seramai 10 mangsa menerima rawatan di zon hijau HSJ manakala 11 lagi mangsa lagi menerima rawatan di lokasi kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan seramai 21 penumpang cedera selepas Feri Teluk Bahang bertembung dengan kapal MV Mekar Jaya dalam kejadian di perairan Pelabuhan Pulau Pinang di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam, ketika kapal berkenaan dilaporkan sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin dalam kenyataan memaklumkan, perlanggaran berlaku antara kapal berkenaan dengan Feri Teluk Bahang yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH). – MalaysiaGazette
















