BUTTERWORTH – Seramai 21 penumpang cedera selepas Feri Teluk Bahang bertembung dengan kapal MV Mekar Jaya dalam kejadian di perairan Pelabuhan Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam, ketika kapal berkenaan dilaporkan sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin dalam kenyataan memaklumkan, perlanggaran berlaku antara kapal berkenaan dengan Feri Teluk Bahang yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).
“Setakat maklumat awal yang diterima, seramai 21 orang dilaporkan cedera.
“Semua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH,” katanya.
Tambah beliau, operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden berkenaan.
“SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan berkaitan penumpang yang terbabit dapat dilaksanakan.
“Aspek keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan juga akan terus diberi perhatian susulan kejadian itu,” katanya.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan keadaan beberapa mangsa yang cedera, selain beberapa motosikal dilihat tumbang di dalam feri susulan perlanggaran berkenaan. – MalaysiaGazette
















