KUALA LUMPUR – Gara-gara menarik diri daripada set penggambaran drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali, dua pelakon drama berkenaan iaitu Amlia Henderson dan Idris Khan bakal berdepan tindakan undang-undang daripada Datuk A Aida.
Dalam sidang media khas yang diadakan di Restoran Rebung petang tadi, Aida selaku penerbit drama tersebut bersama peguamnya Ashmadi B.Othman berkata, tindakan itu diambil kerana sikap tidak profesional kedua-dua pelakon itu yang menarik diri dengan alasan tidak masuk akal.
“Sesi penggambaran drama tersebut sepatutnya berlangsung pada 16 Jun lalu tetapi saya terkejut secara tiba-tiba sehari sebelum itu (15 Jun) heroin (Amelia) menerusi pengurusnya menyatakan dia mahu menarik diri.
“Kerana Amelia tarik diri, Idris pula kata dia pun tarik diri…saya tersentaklah.. kedua-dua artis itu tidak profesional langsung.. saya terkedu,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Katanya Emilia menjadi popular selepas berlakon dengannya dalam dramanya bertajuk ‘Kisah Cinta Kita’ manakala Idris Khan yang dahulunya hanya sekadar model tak pernah berlakon diperkenalkan kepadanya oleh Fattah Amin.
Katanya, perbuatan tidak beretika kedua-dua pelakon itu mengakibatkan beliau dan pengarah drama terpaksa menangguhkan penggambaran selama seminggu dan tidak dapat tidur sehingga mata membengkak dan sakit kepala memikirkan pengganti kedua-dua pelakon itu.
“Waktu membaca skrip drama kedua-dua artis itu datang tetapi tak sangka boleh tarik diri secara tiba-tiba-pada saat akhir.
”Pengarah sudah cuba menghubungi mereka untuk memujuk, malangnya tiada respons langsung sebelum kami membuat keputusan bahawa mereka sudah tidak berhasrat bekerja dengan kami.
“Artis sebegini tidak akan bertahan lama dalam industri, saya sebagai Timbalan Presiden Penerbit TV Malaysia mengarahkan lebih 1,000 ahli persatuan menyenaraihitamkan kedua-dua artis tersebut,” tambahnya.
Aida berkata, beliau sudah pun menemui pengganti mereka dengan menampilkan Siti Khatijah dan Aniq Suheir (Hero Remaja) pada 20 Jun lalu dan penggambaran ‘Sekali Lagi Cinta Kita Kembali’ telah dimulakan dua hari bermula 21 Jun lalu.
“Kita mengalami banyak kerugian beratus ribu ringgit yang masih dalam penelitian yang mana seminggu sebelum penggambaran bermula segala bayaran lebih RM150,000 untuk lokasi penggambaran, pasukan produksi, pengarah penyunting dan untuk peralatan set penggambaran manakala drama merangkumi 28 episod ini adalah projek berjumlah RM1 juta,” keluhnya lagi.
Menurut Aida, tindakan undang-undang ini bertujuan memberi pengajaran kepada Emilia dan Mohd Idris serta syarikat pengurusan mereka agar insiden sebegini tidak berulang lagi oleh artis-artis lain.
Beliau mengakui, pihaknya juga menerima banyak aduan mengenai isu seumpama ini daripada ahli-ahli persatuan penerbit.
Dalam pada itu, pengarah drama berkenaan, Riza Baharudin menyifatkan kedua-dua artis itu tidak menghormatinya dan komitmen yang terikat.
Lantaram itu, Riza tidak pasti sama ada dia dapat bekerja semula dengan pelakon itu di masa akan datang selepas insiden ini.
“Emilia menerusi pengurusnya memberitahu dalam WhatsApp bahawa skrip tidak mengikut apa kehendak dia dan saya tertanya-tanya kenapa dia tidak memberitahu awal kepada penulis skrip yang berada di depannya pada hari pembacaan skrip itu.
“Pembacaan skrip tiga hari sebelum penggambaran bermula..dia dah lama dapat skrip mungkin dia baru baca..saya pun tak pastilah.. biasanya dia orang akan baca awal…mungkin dia banyak kerja lambat baca.. pihak pengurusan yang whatsapp dengan saya berkata skrip tidak kena dengan apa yang dia hendak.
Dalam pada itu peguam yang mewakili Aida Productions Ashmadi berkata, dalam soal berkenaan kemungkiran oleh dua pelakon itu memang berlaku setelah menandatangani kontrak dan mengambil pembayaran lima peratus serta telah memberikan jadual waktu kelapangan mereka untuk memulakan sesi penggambaran pada 16 Jun lalu.
“Kami baru 30 peratus dalam proses menyusun segala kesan dan nilai kerugian untuk dimuktamadkan.. mungkin dalam masa sebulan lagi kita akan memuktamadkan segalanya termasuk jumlah sebenar kerugian sebelum memfailkan saman terhadap mereka di mahkamah.
“Kita rasa surat itu dalam perjalanan sampai kepada mereka termasuk Shu Managemant yang menguruskan mereka berdua,” ujarnya. – MalaysiaGazette