KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) belum mengadakan sebarang mesyuarat bagi membincangkan permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai gabungan itu.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, segala keputusan itu haruslah dibuat secara konsensus.
“Itu adalah keputusan secara konsensus daripada Majlis Tertinggi BN yang belum lagi bermesyuarat,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sebentar tadi.
PBM menerusi presidennya, Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau dilaporkan berkata, permohonan parti itu untuk menyertai BN masih dalam proses.
Malah katanya, PBM memberi mandat kepada bakal presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain, terutama berhubung perbincangan untuk membentuk kerjasama politik.
Bagaimanapun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jun berkata, gabungan itu belum menerima sebarang permohonan rasmi parti itu untuk menyertai BN.
Dalam pada itu, mesyuarat MKT malam ini menggesa beberapa perkara kepada kerajaan.
Antaranya agar kerajaan dapat segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, bersepadu dan berkesan.
UMNO juga menegaskan agar subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup.
Mesyuarat turut turut mendukung keputusan kerajaan untuk menarik balik pengapungan harga ayam di pasaran serta tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air.
“Mesyuarat juga telah memutuskan agar jentera pilihan raya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti-parti komponen di bawah BN agar tahap kesiapsiagaan jentera BN keseluruhannya berada pada tahap yang tertinggi.
“MKT menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti dibentang segera di Parlimen sebelum PRU-15.
“Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan,” kata Ahmad. – MalaysiaGazette